Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Empat kejutan terbesar dalam sejarah Piala Dunia
  • SUKAN

Empat kejutan terbesar dalam sejarah Piala Dunia

Utusan Sarawak 7 hours ago

1. Penjaga gol Cape Verde, Vozinha, meraikan kejayaan pasukannya mengikat juara Eropah Sepanyol 0-0 dalam penampilan sulung mereka di Piala Dunia. — Foto AFP

CAPE Verde mencipta sejarah pada penampilan sulung mereka di Piala Dunia apabila berjaya mengikat juara Eropah, Sepanyol 0-0 pada Isnin lalu. 

Keputusan itu dianggap antara kejutan terbesar dalam sejarah kejohanan tersebut.

AFP Sports menyenaraikan empat kejutan besar yang berlaku sebelum pasukan dari kepulauan gunung berapi kecil dengan populasi hanya sekitar 525,000 orang itu membuktikan mereka mampu menandingi kuasa besar bola sepak dunia.

Amerika Syarikat lwn England — 1950

Jurulatih Amerika Syarikat berkata pasukannya ibarat “kambing yang menunggu untuk disembelih” ketika bersiap sedia menentang pasukan England yang ketika itu digelar “Raja-Raja Bola Sepak”.

Namun, skuad Amerika yang terdiri daripada guru, pencuci pinggan mangkuk dan pelbagai profesion lain, diketuai pemain kelahiran Scotland, Edward McIlvenny, bermain lebih seperti serigala daripada kambing dalam perlawanan yang berlangsung di Brazil itu.

Gol kemenangan dijaringkan oleh pemain kelahiran Haiti, Joe Gaetjens. Seperti McIlvenny, beliau dibenarkan mewakili Amerika Syarikat kerana telah menyatakan hasrat untuk menjadi warganegara negara itu.

Gaetjens kemudian pulang ke tanah airnya dan bermain sekali lagi untuk Haiti, namun menjadi mangsa pemerintahan rejim François Duvalier. 

Beliau dipercayai telah diseksa dan dibunuh oleh pasukan polis rahsia Tonton Macoutes pada 1964.

Keputusan perlawanan itu, yang disifatkan oleh tokoh Liga Bola Sepak England ketika itu, Arthur Drewry, sebagai “sukar dipercayai”, kemudiannya diabadikan dalam buku The Game of Their Lives dan turut diadaptasi menjadi filem.

Korea Utara lwn Itali — 1966

Peminat bola sepak Korea Utara pastinya mengingati Piala Dunia 1966 dengan penuh kebanggaan, sama seperti tuan rumah dan juara akhirnya, England.

Pemain Korea Utara meraikan kemenangan mengejut ke atas Itali dalam perlawanan kumpulan Piala Dunia 1966. — Foto AFP

Selepas layak ke kejohanan di England menerusi kemenangan playoff ke atas Australia, ramai menjangka mereka akan menjadi mangsa mudah kepada Kesatuan Soviet, Itali dan Chile.

Namun, mereka enggan mengalah. Selepas seri dengan Chile dan tewas kepada Soviet, Korea Utara masih berpeluang mara ke suku akhir menjelang perlawanan terakhir kumpulan.

Itali ketika itu dibarisi bintang seperti Giacinto Facchetti, Sandro Mazzola dan Gianni Rivera, tetapi stadium Ayresome Park di Middlesbrough menjadi kubur harapan mereka.

Pak Doo-ik menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-42. Korea Utara kemudian mendahului Portugal 3-0 dalam suku akhir sebelum kebangkitan yang dipimpin oleh Eusébio menyaksikan Portugal menang 5-3.

Pak kembali ke Middlesbrough pada tahun 2002 dan mendapati Ayresome Park telah dirobohkan serta digantikan dengan kawasan perumahan. 

Namun, detik gemilangnya diiktiraf apabila sepasang but dipasang di taman salah sebuah rumah di lokasi beliau menjaringkan gol bersejarah itu.

“Itulah hari saya belajar bahawa bola sepak bukan hanya mengenai kemenangan,” katanya.

“Saya belajar bahawa bola sepak boleh memperbaiki hubungan diplomatik dan memupuk keamanan.”

Senegal lwn Perancis — 2002

Kapten Perancis, Marcel Desailly, pernah membayangkan “final impian” antara juara bertahan Perancis dan Argentina. Namun, Senegal memberikan kejutan besar dalam perlawanan pembukaan di Seoul.

Papa Bouba Diop menjaringkan gol yang membawa Senegal mengejutkan juara bertahan dunia, Perancis, dalam aksi pembukaan Piala Dunia 2002. — Foto AFP

Senegal yang digelar The Teranga Lions tampil cemerlang menentang Perancis yang kehilangan tonggak utama mereka, Zinedine Zidane, akibat kecederaan.

Gol tunggal Papa Bouba Diop hasil bantuan El Hadji Diouf menjadi pemisah menentang pasukan yang masih dibarisi ramai pemain juara dunia 1998.

Senegal bertahan dengan disiplin mengikut pelan permainan jurulatih berkarisma mereka, Bruno Metsu.

Senegal mara hingga ke suku akhir, manakala Perancis yang dimalukan tersingkir seawal peringkat kumpulan.

“Itulah persembahan yang kami impikan dan fikirkan selama ini, dan kami berjaya merealisasikannya,” kata Metsu, yang meninggal dunia pada usia 59 tahun pada 2013.

Arab Saudi lwn Argentina — 2022

Ramai pemain Argentina pada 2022 belum dilahirkan ketika Cameroonmengejutkan juara bertahan Argentina pada Piala Dunia 1990 di Itali.

Pemain tengah Arab Saudi, Salem Al-Dawsari, meraikan gol kemenangan ke atas Argentina dalam kejutan besar peringkat kumpulan Piala Dunia 2022. — Foto AFP

Namun, selepas tewas 2-1 kepada Arab Saudi di Qatar, mereka pasti memahami perasaan yang dialami generasi terdahulu.

Gol cantik Salem Al-Dawsari memastikan kemenangan bersejarah Arab Saudi.

“Hari ini semua bintang di langit seolah-olah berada di pihak kami… inilah bola sepak. Kadangkala sesuatu yang benar-benar luar biasa boleh berlaku,” kata jurulatih Perancis Arab Saudi, Hervé Renard.

Walaupun Arab Saudi gagal mengulangi prestasi tersebut dan tersingkir di peringkat kumpulan, Argentina bangkit seperti pasukan 1990 dan mara ke final.

Bezanya, skuad 2022 berjaya menghadiahkan Lionel Messi satu-satunya trofi utama yang masih belum dimiliki dalam kariernya apabila muncul juara dunia. — AFP

Continue Reading

Previous: England mulakan cabaran Piala Dunia, Ronaldo bakal cipta sejarah
Next: Andre pilih terbuka Korea, buru tiket Sukan Asia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.