Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • “Dear You (Love Letter for Grandma)” sentuh hati penonton dengan kisah keluarga
  • HIBURAN

“Dear You (Love Letter for Grandma)” sentuh hati penonton dengan kisah keluarga

Utusan Sarawak 1 day ago
JOHNY Pang berucap pada majlis tayangan perdana filem “Dear You (Love Letter For Grandma)” yang berlangsung di pawagam Golden Screen Cinema (GSC), Pusat Beli-Belah The Spring, Bintulu, hari ini.

BINTULU: Majlis tayangan perdana filem “Dear You (Love Letter for Grandma)” berlangsung meriah di pawagam Golden Screen Cinema (GSC), Pusat Beli-Belah The Spring, Bintulu hari ini. Karya berbahasa Teochew itu menampilkan jalan cerita yang mengangkat nilai kekeluargaan, kasih sayang dan pengorbanan, sekali gus menyentuh hati penonton.

Majlis tersebut disempurnakan oleh YB Johnny Pang dengan kerjasama Persatuan Teochew Bintulu Sarawak, yang turut memainkan peranan penting dalam menjayakan penganjuran tayangan perdana berkenaan.

Dalam ucapan perasmiannya, YB Johnny Pang melahirkan rasa berbesar hati atas jemputan ke majlis tersebut serta peluang untuk bersama-sama menyaksikan pelancaran filem berbahasa Teochew yang kini mendapat perhatian ramai.

Beliau berkata, Dear You (Love Letter for Grandma) yang menggunakan sepenuhnya dialek Teochew telah mencatat kejayaan luar biasa dengan kutipan melebihi RM1.7 bilion di China, selain menerima sambutan dan ulasan positif daripada penonton.

Menurut beliau, kejayaan filem itu membuktikan bahawa kekuatan sesebuah karya bukan terletak pada kesan khas atau barisan pelakon terkenal semata-mata, tetapi pada keikhlasan emosi serta nilai budaya yang diketengahkan.

“Walaupun filem ini mengisahkan sebuah keluarga Teochew yang berlatarbelakangkan kehidupan di Thailand, ramai dalam kalangan masyarakat Cina di Malaysia, khususnya komuniti Teochew, akan berasa dekat dengan jalan ceritanya,” katanya.

YB Johnny Pang bersama Sim Siang Boo dan ahli Persatuan Teochew Bintulu Sarawak pada majlis tayangan perdana filem “Dear You (Love Letter for Grandma)” yang berlangsung di pawagam Golden Screen Cinema (GSC), Pusat Beli-Belah The Spring, Bintulu, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa ramai nenek moyang masyarakat Cina di rantau ini pernah berhijrah demi mencari kehidupan yang lebih baik. Justeru, tema kasih sayang keluarga, ikatan kekeluargaan dan kerinduan terhadap kampung halaman yang dipaparkan dalam filem tersebut mampu membangkitkan memori serta pengalaman yang dikongsi oleh generasi terdahulu.

YB Johnny Pang turut berpesan secara berseloroh kepada para hadirin agar menyediakan tisu kerana filem berkenaan dikatakan mampu menyentuh perasaan penonton.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Persatuan Teochew Bintulu yang sentiasa aktif menganjurkan pelbagai program kebudayaan bagi memastikan warisan Teochew terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Sementara itu, Presiden Persatuan Teochew Bintulu, Encik Sim Siang Boo berkata penganjuran tayangan perdana tersebut amat bermakna kerana ia bukan sekadar hiburan, malah menjadi medium untuk memperkukuh pemahaman terhadap budaya Teochew.

Beliau berkata, “Filem Dear You (Love Letter for Grandma) bukan sekadar mengisahkan sebuah keluarga, malah menggambarkan kenangan dan pengalaman yang dikongsi oleh ramai masyarakat Teochew. Walau di mana pun kita berada, semangat gigih berusaha, mengutamakan keluarga, menghormati orang tua dan menyayangi generasi muda yang diwariskan oleh nenek moyang sentiasa menjadi pedoman dalam kehidupan.”

Beliau turut menambah bahawa watak nenek dalam filem tersebut mengingatkan masyarakat kepada insan tersayang yang banyak berkorban tanpa mengharapkan balasan.

RAKAM kenangan majlis tayangan perdana filem “Dear You (Love Letter for Grandma)” berlangsung di pawagam Golden Screen Cinema (GSC), Pusat Beli-Belah The Spring, Bintulu, hari ini.

“Watak nenek dalam filem ini mungkin mengingatkan kita kepada insan tersayang dalam kehidupan masing-masing, seseorang yang sentiasa berkorban, memberikan kasih sayang tanpa syarat dan berbakti tanpa mengharapkan sebarang balasan,” katanya.

Menurut beliau, Persatuan Teochew Bintulu sentiasa komited dalam memartabatkan budaya Teochew serta memastikan warisan dan nilai murni masyarakat terus dipelihara dari satu generasi ke generasi yang seterusnya.

“Pewarisan budaya bukan sahaja terletak pada bahasa dan adat resam, tetapi juga pada ikatan emosi serta nilai-nilai murni yang diwariskan daripada satu generasi kepada generasi yang lain,” tambahnya.

Beliau berharap filem tersebut dapat membuka mata generasi muda agar lebih menghargai pengorbanan generasi terdahulu serta memperkukuh hubungan kekeluargaan dalam masyarakat moden hari ini.

Majlis tayangan perdana itu turut mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton yang menyifatkan filem berkenaan sebagai sebuah karya yang menyentuh hati dan sarat dengan pengajaran bermakna.

Oleh Faizah Muzidi

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Penyanyi Bonnie Tyler sedar daripada koma
Next: Pelakon suara “Lilo & Stitch”, Daveigh Chase meninggal dunia pada usia 35 tahun

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.