Warga emas maut dalam kebakaran rumah di Stutong Baru

Facebook
WhatsApp
SEORANG lelaki warga emas maut selepas terlibat dalam kebakaran sebuah rumah di Lorong Stutong Baru, petang semalam.

KUCHING: Seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun meninggal dunia selepas terlibat dalam kebakaran sebuah rumah di Lorong Stutong Baru, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Polis (ACP) Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu sekitar 7.05 malam pada 16 Jun.

“Susulan maklumat tersebut, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Sungai Maong yang diketuai Ketua Polis Balai bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bergegas ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

POLIS dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kebakaran melibatkan bahagian tingkat atas rumah berkenaan.

Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital pada jam 8.30 malam.

Alexson berkata, siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah berkaitan kejadian kebakaran atau kematian mangsa.

“Polis telah membuka Kertas Siasatan Mati Mengejut (SDR), manakala punca kebakaran masih dalam siasatan pihak JBPM,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ketua Polis Balai Sungai Maong, Inspektor Awang Ramzi Awang Junaidi di talian 019-8444123 atau Balai Polis Sungai Maong di talian 082-420469, atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut bagi menghormati sensitiviti keluarga mangsa serta tidak mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

Oleh Connie Chieng

Kuarters sekolah lama musnah 100 peratus dalam kebakaran

BEKENU: Sebuah kuarters Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luar Bandar Miri jenis tidak kekal satu tingkat yang sudah lama dan tidak berpenghuni musnah 100 peratus dalam kebakaran di sini hari ini. Bangunan berukuran kira-kira 30 x 20 kaki persegi itu terbakar sepenuhnya ketika pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah tiba di lokasi. Menurut kenyataan BBP Batu Niah, panggilan kejadian itu telah diterima pada 9.31 pagi dan sepasukan anggota bergegas ke lokasi sejauh 63 kilometer.  “Tiba di lokasi pada 10.30 pagi dan beberapa pekerja yang berada di lokasi turut berusaha memadam kebakaran menggunakan sumber air daripada paip berhampiran sementara menunggu ketibaan pasukan bomba. “Hasil pemeriksaan awal mendapati kuarters berkenaan merupakan bangunan lama dan usang serta tidak mempunyai sambungan bekalan elektrik selain tidak berpenghuni. “Pasukan Keluaran Operasi (PKO) BBP Batu Niah menjalankan penilaian awal sebelum melaksanakan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan air daripada pili bomba berhampiran,” kata kenyataan itu.  Katanya, pasukan bomba berjaya mengawal dan memadam kebakaran sepenuhnya sebelum operasi diteruskan dengan kerja-kerja pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi bahagian yang berpotensi menyebabkan kebakaran semula. “Pasukan turut memasang sawar keselamatan di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan dan keadaan disahkan selamat,” katanya lagi.  Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. Turut berada di lokasi ialah dua anggota dari Balai Polis Bekenu bagi membantu kawalan dan keselamatan di tempat kejadian.