
KANSAS CITY, Amerika Syarikat: Lionel Messi menyifatkan detik bersejarah itu sebagai ‘momen yang indah’ selepas menjadi penjaring gol bersama terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia dalam penampilan keenamnya di pentas akhir kejohanan itu sebentar tadi.
Kapten Argentina berusia 38 tahun itu terus mengukir satu lagi bab bermakna dalam karier gemilangnya apabila meledak hatrik dalam kemenangan 3-0 Amerika Selatan ke atas Algeria di Stadium Arrowhead, di sini.
Hatrik tersebut — yang pertama buat Messi di Piala Dunia — menyaksikannya menyamai rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman kejohanan itu milik legenda Jerman, Miroslav Klose, dengan 16 gol.
“Saya benar-benar menikmati detik ini bersama keluarga, rakan sepasukan dan mereka yang sentiasa ada bersama saya. Ia satu momen yang sangat indah,” kata bintang Inter Miami itu. “Saya sangat gembira.”
Ketajaman Messi di depan pintu gol terus memberi harapan besar kepada Argentina untuk muncul pasukan pertama sejak Brazil pada 1962 mempertahankan kejuaraan Piala Dunia.

“Kami mempunyai skuad yang sangat bersatu dan kuat,” katanya.
“Saya berasa baik; kami bernasib baik dapat memenangi perlawanan yang sukar. Ia penting untuk bermula dengan kemenangan dalam perlawanan pertama.
“Saya berterima kasih kepada penyokong kerana sekali lagi mereka menunjukkan bahawa Argentina benar-benar gilakan bola sepak — stadium penuh lagi.”
Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, berkata beliau kini sudah tidak mempunyai “kata-kata untuk menggambarkan Messi”.
“Selama 20 tahun, dia telah membiasakan kami dengan aksi seperti ini, dan dia terus memberi inspirasi kepada semua yang menontonnya bermain,” kata Scaloni mengenai persembahan Messi.
Scaloni kini memberi tumpuan kepada perlawanan kedua Kumpulan J Argentina menentang Austria pada Isnin, ketika pasukan Amerika Selatan itu memburu tiket ke pusingan kalah mati.
“Kami akan mengambil satu perlawanan pada satu masa. Pasukan berada dalam keadaan gembira; kami telah memberi minit permainan kepada ramai pemain,” kata Scaloni.
“Harapnya kami boleh menang perlawanan seterusnya supaya semua pemain boleh diturunkan dalam perlawanan ketiga peringkat kumpulan.” – AFP