

BEKENU: Keadaan wayar yang putus dan melintang di atas jalan menuju ke Klinik Kesihatan Bekenu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat serta pengguna jalan raya.
Wayar tersebut dilihat berada di tengah laluan utama dan berpotensi mengakibatkan kemalangan sekiranya tidak ditangani dengan segera.
Tinjauan Utusan Sarawak pagi ini, masalah ini telah berlarutan hampir seminggu tanpa sebarang tindakan pembaikan daripada pihak yang bertanggungjawab.
Keadaan tersebut menimbulkan persoalan kerana lokasi berkenaan merupakan laluan yang sering digunakan oleh orang ramai, termasuk kakitangan klinik, pesakit dan penduduk sekitar.
Risiko kemalangan dipercayai lebih tinggi pada waktu malam apabila pencahayaan yang terhad menyukarkan pengguna jalan raya melihat halangan tersebut.
Penunggang motosikal khususnya berdepan bahaya kerana wayar yang terletak rendah di atas permukaan jalan boleh menyebabkan mereka hilang kawalan atau terjatuh secara tiba-tiba.
Penduduk setempat berharap pihak berkaitan dapat segera turun padang untuk memeriksa dan membaiki kerosakan berkenaan sebelum berlaku kejadian yang tidak diingini.
Mereka turut meminta agar langkah keselamatan sementara seperti pemasangan kon amaran atau papan tanda bahaya dilakukan bagi mengelakkan risiko kepada pengguna jalan raya.
Keselamatan awam perlu diberi keutamaan dan tindakan pantas amat diperlukan dalam situasi seperti ini.
Penduduk menggesa pihak yang bertanggungjawab supaya mengambil perhatian serius terhadap aduan ini demi memastikan laluan menuju ke Klinik Kesihatan Bekenu kembali selamat digunakan oleh semua pihak.
Oleh Adum Liu