
NASHVILLE (Tennessee): Selepas membuka kempen Piala Dunia dengan keputusan seri 2-2 ke atas Belanda, pemain Jepun pada Isnin bertekad untuk mengelak daripada mengulangi kesilapan sama yang menyaksikan Samurai Biru dikecewakan Costa Rica pada kejohanan sebelumnya, lapor Kyodo News.
Sehari selepas memperoleh mata berharga dalam perlawanan menentang gergasi Eropah itu di Stadium Dallas, para pemain juga berada dalam keadaan waspada menjelang pertemuan pada Sabtu dengan pasukan Tunisia yang memecat pengurus Sabri Lamouchi susulan kekalahan 5-1 mereka kepada Sweden.
Jepun di bawah pimpinan Hajime Moriyasu mencipta kejutan apabila membuka Piala Dunia 2022 mereka di Qatar dengan kemenangan 2-1 ke atas Jerman, sebelum menjejaskan peluang untuk mara dengan kekalahan 1-0 kepada Costa Rica, yang kelihatan seperti “tiada harapan” selepas dibelasah Sepanyol 0-7.
“Selepas membuat kejutan menewaskan Jerman, kami yang menguasai bola ketika menentang Costa Rica dan kami sendiri dikalahkan dengan kejutan.
“Tetapi kami mempunyai pandangan yang sama tentang pengalaman itu…Apa yang benar-benar penting sekarang ialah cara kami melihat permainan, pastikan kami mempunyai fikiran yang sama,” kata kapten Jepun, Ko Itakura selepas skuad itu berlatih di kem mereka di pinggir bandar Nashville, Tennessee.
Tunisia memaklumkan di Instagram mereka bahawa Lamouchi, bekas rakan sepasukan ikon Jepun Hidetoshi Nakata di Parma, telah digantikan oleh Mondher Kebaier secara sementara menjelang pertemuan Kumpulan F antara kedua-dua negara di Monterrey, Mexico.
Kelibat Lamouchi di tepi padang boleh menjadi peringatan yang menyakitkan bagi peminat Jepun tentang Piala Dunia 2014, apabila beliau berjaya mengatasi Ivory Coast untuk bangkit 2-1 ketika berdepan Samurai Biru, yang diilhamkan oleh pemain bintang Didier Drogba dari bangku simpanan.
Bekas pemain pertahanan Inter Milan, Yuto Nagatomo, yang bermain dalam kejohanan itu di Brazil, menegaskan Jepun tidak seharusnya terpengaruh dengan keputusan seri mereka dengan Belanda, atau perubahan pengurusan oleh pasukan Afrika itu yang, seperti Costa Rica pada 2022, kelihatan bergolak.
“Terdapat rasa lega (pada 2022) selepas menewaskan Jerman (dan) itu adalah sesuatu yang kami tidak boleh benarkan berlaku lagi.
“Kami tidak tahu jenis (permainan) bola sepak (Tunisia) yang akan muncul selepas mereka menukar pengurus mereka. Kami mungkin dikejutkan (dengan permainan mereka) jika kami tidak bersedia dan kami perlu mempunyai rasa terdesak,” kata pemain berusia 39 tahun itu.- Bernama-Kyodo