Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Argentina, Perancis mulakan misi memburu kejuaraan Piala Dunia
  • SUKAN

Argentina, Perancis mulakan misi memburu kejuaraan Piala Dunia

Utusan Sarawak 6 hours ago
LIONEL Messi (tengah) bersama Rodrigo De Paul (kiri) dan Thiago Almada menjalani sesi latihan Argentina sehari sebelum perlawanan Kumpulan J Piala Dunia 2026 menentang Algeria di Stadium Kansas City. — Foto AFP

LOS ANGELES: Argentina yang diketuai Lionel Messi dan Perancis, dibarisi Kylian Mbappe, dua pasukan yang berentap dalam final Piala Dunia mendebarkan empat tahun lalu, memulakan kempen Piala Dunia 2026 pada pagi esok.

Argentina, yang menjuarai perlawanan akhir di Doha menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 3-3 sehingga tamat masa tambahan, akan berdepan Algeria di Kansas City.

Messi dijangka beraksi dalam Piala Dunia keenamnya dan jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, berkata tonggak berusia 38 tahun itu berada dalam keadaan baik walaupun mengalami kecederaan hamstring ketika beraksi bersama Inter Miami⁠ pada penghujung Mei lalu.

“Semua orang mahu melihatnya berada di atas padang, bukan sahaja rakyat Argentina tetapi juga peminat bola sepak di seluruh dunia kerana pengaruh yang dimilikinya,” kata Scaloni dalam sidang media praperlawanan.

“Dia sentiasa menjadi pemain penting buat kami dan kini peranannya lebih besar. Dia kelihatan berada dalam keadaan baik.”

Messi membuktikan kecergasannya apabila masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol dalam aksi pemanas badan menentang Iceland minggu lalu.

“Dia seorang yang sangat kompetitif,” kata pertahanan tengah Nicolas Otamendi. “Dia membuatkan anda terus berusaha dan tidak membenarkan sesiapa berasa selesa.”

Sementara itu, Perancis yang memiliki jentera serangan berbahaya diketuai Kylian Mbappe, Ousmane Dembele dan Michael Olise akan memulakan kempen menentang Senegal di New Jersey.

Skuad kendalian Didier Deschamps itu pastinya mahu mengelakkan episod hitam Piala Dunia 2002 di Korea Selatan apabila tewas kepada Senegal dalam perlawanan pembukaan, sebelum tersingkir seawal peringkat kumpulan selaku juara bertahan.

“Perlawanan pertama sangat penting tetapi bukan penentu. Memulakan kempen dengan kemenangan dalam kumpulan empat pasukan adalah sasaran utama,” kata Deschamps.

“Namun satu perkara yang sukar diukur ialah aspek emosi. Ada pemain yang mungkin tertekan dengan suasana dan kepentingan perlawanan,” tambahnya.

Perancis telah mara ke final dalam empat daripada tujuh edisi Piala Dunia terakhir, memenangi dua daripadanya dan tewas dua lagi menerusi sepakan penalti.

Haaland dahagakan impak besar

Sementara itu, penyerang sensasi Erling Haaland bakal membuat penampilan sulung di pentas Piala Dunia apabila Norway menentang Iraq selepas layak ke kejohanan itu buat kali pertama sejak 1998.

Haaland baru sahaja menamatkan musim sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana buat kali ketiga dalam empat musim bersama Manchester City⁠, selain memiliki rekod mengagumkan 55 gol dalam 50 penampilan antarabangsa.

“Harapnya dia akan memberikan impak yang sangat besar,” kata jurulatih Norway, Stale Solbakken.

Bagaimanapun, jurulatih Iraq dari Australia, Graham Arnold, percaya pasukannya mampu mencipta kejutan.

“Kami perlu bermain pada tahap terbaik dan cuba mengejutkan dunia,” katanya.

“Kelayakan sahaja tidak mencukupi. Saya mahukan lebih daripada itu. Kami tiada apa-apa untuk rugi, sebaliknya segala-galanya untuk dimenangi.”

Dalam aksi semalam, antara pasukan pilihan kejohanan, Sepanyol, dikejutkan apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan pendatang baharu, Cape Verde.

Malah kemasukan bintang muda Lamine Yamal sebagai pemain gantian pada babak kedua gagal mengubah keputusan.

Di Los Angeles, Iran seri 2-2 dengan New Zealand dalam suasana penuh emosi apabila puluhan ribu rakyat Iran yang menetap di California hadir memberikan sokongan.

Selepas perlawanan, jurulatih Iran, Amir Ghalenoei, mendakwa pasukannya adalah “pasukan yang paling teraniaya di Piala Dunia” selepas pemain dimaklumkan secara mengejut perlu kembali ke Mexico sejurus tamat perlawanan.

Ia merupakan episod terbaru masalah logistik yang menghantui Iran sejak tiba di kejohanan yang dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.

Iran turut menukar pangkalan latihan mereka dari Tucson ke Tijuana sejurus sebelum kejohanan bermula.

Di Seattle, Mesir hampir mencipta kejutan apabila mendahului Belgium menerusi jaringan Emam Ashour pada separuh masa pertama.

Namun, penyerang veteran Belgium, Romelu Lukaku, yang masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua berjaya mengubah corak permainan sehingga menyebabkan pertahanan Mesir, Mohamed Hany, menjaringkan gol sendiri untuk menghadiahkan satu mata kepada Belgium.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan H, Uruguay bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Arab Saudi. – AFP

Continue Reading

Previous: Pemain Korea Selatan yang cedera kembali berlatih menjelang aksi bertemu Mexico
Next: Jepun waspada berdepan Tunisia, masih ingat pengajaran dikalahkan Costa Rica

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.