Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Idea daripada youtube, Suhaili bina empayar ketam lembut di Kampung Bambangan
  • RENCANA

Idea daripada youtube, Suhaili bina empayar ketam lembut di Kampung Bambangan

Utusan Sarawak 9 hours ago
SUHAILI Abdurahman menunjukkan meneliti ketam nipah yang telah bertukar cengkerang menjadi ketam lembut atau soft-shell crab iaitu sejenis makanan eksotik yang diusahakannya ketika ditemui di Kampung Bambangan baru-baru ini. Foto BERNAMA

SANDAKAN: Usahanya membela anak ketam nipah di perairan Kampung Bambangan di sini dianggap sebagai aneh oleh penduduk kampung, namun Suhaili Abdurahman tidak ambil peduli.

Dia malah membawa isteri dan tiga anaknya yang masih kecil tinggal di rumah rakit berdekatan enam sangkar berisi kira-kira 70 kilogram anak ketam nipah itu. Matlamatnya cuma satu. Dia mahu memastikan pelaburannya sebanyak RM700 yang digunakan untuk membina sangkar dan membeli anak ketam nipah tersebut tidak sia-sia.

Selepas kira-kira sebulan anak ketam dilepaskan ke dalam sangkar, Suhaili mengaut hasil. Benih ketam nipah yang dibelanya kini bertukar menjadi “ketam lembut” atau soft-shell crab, iaitu sejenis makanan eksotik yang memberikan pulangan lumayan.

Kisah pada 2013 itu menjadi permulaan buat Suhaili, 46, dalam mengubah nasib hidup keluarganya dan mencetuskan revolusi ekonomi di kawasannya apabila sebahagian penduduk kampung turut meneroka perusahaan ketam lembut selepas melihat kejayaan lelaki tersebut.

SEBAHAGIAN sangkar ternakan ketam nipah milik Suhaili Abdurahman di Kampung Bambangan. Foto BERNAMA

TERCETUS DARIPADA YOUTUBE

Mengimbau perjalanannya sebagai usahawan ketam lembut, Suhaili berkata dia menceburi bidang itu tanpa sebarang ilmu, sebaliknya cuma bersandarkan video yang ditonton di YouTube.

“Ketika itu saya bekerja di syarikat swasta. Rutin siang hari memang sibuk. Namun, apabila ada kelapangan saya suka menonton video di media sosial dan YouTube. Beberapa video berkenaan penternakan ketam lembut di negara jiran menangkap perhatian saya.

“Saya beranikan diri untuk mencuba, tanpa ilmu, dorongan ataupun bantuan. Hanya tekad diri. Pada waktu itu masih belum ada yang menternak ketam lembut (di sini).

“Saya cuma berpegang pada kepercayaan: jika negara jiran mampu (ternak ketam lembut), perairan Kampung Bambangan juga pasti mempunyai potensi sama,” katanya.

Justeru, pada November  2013, dia memulakan usaha itu. Dengan modal RM700, dia berjimat cermat membina sebuah rumah rakit kecil dan enam sangkar serta membeli benih ketam nipah.

Walaupun diusahakan tanpa sebarang kursus atau bimbingan formal, Suhaili berjaya menghasilkan ketam lembut dalam projek sulungnya itu, menjadikan dia lebih bersemangat.

“Selama empat tahun hingga 2017, kami sekeluarga tinggal di rumah rakit yang sempit ini walaupun anak-anak ketika itu masih kecil. Saya bersyukur kerana pengorbanan itu berbaloi,” ujarnya. 

SUHAILI Abdurahman meneliti ketam nipah yang telah bertukar cengkerang menjadi ketam lembut atau soft-shell crab iaitu sejenis makanan eksotik yang diusahakannya di dalam sangkar ketika ditemui di Kampung Bambangan baru-baru ini. Foto BERNAMA

TIGA JAM

Berkongsi lanjut, Suhaili berkata dia terpaksa membawa keluarganya tinggal di rumah rakit bagi memudahkannya memantau perkembangan anak ketam nipah tersebut, terutama dalam tempoh bersalin kulit.

“Proses bersalin kulit (cangkerang) ini berlaku pada waktu malam, biasanya antara 6.00 petang hingga 1.00 pagi. Kalau terlepas tetingkap ini, maka ketam itu akan jadi ketam nipah biasa.

“Apabila haiwan ini mula bersalin kulit, saya cuma ada masa selama tiga jam untuk mengutip ketam-ketam tersebut. Kalau terlambat, cangkerang akan mengeras atau dimakan oleh ketam-ketam lain. Jadi, saya perlu kutip dan asingkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Suhaili berkata bagi mempercepat proses ketam bersalin kulit di samping mengelakkan haiwan itu memanjat sangkar dan lolos, dia memotong sepit dan jari ketam.

“Biasanya selepas dipotong, ketam mula bersalin kulit dalam tempoh satu minggu hingga 16 hari. Jari dan sepit yang dipotong itu akan tumbuh kembali semasa ketam bersalin kulit,” jelasnya.

KETAM lembut atau soft-shell crab iaitu sejenis makanan eksotik yang ditenak di dalam sangkar di Kampung Bambangan. Foto BERNAMA

BADAI DAN CABARAN

Penternakan di perairan terbuka bermakna dia terdedah sepenuhnya kepada ragam alam semula jadi, dan menurut Suhaili, perubahan iklim seperti fenomena cuaca panas atau El Nino memberi kesan langsung kepada perusahaannya.

“Cuaca yang tidak menentu boleh menurunkan peratusan kejayaan ketam untuk bersalin kulit, yang secara tidak langsung mengundang kerugian. Belum lagi dikira ancaman ribut dan ombak kuat yang boleh merosakkan keseluruhan struktur sangkar sekelip mata,” kongsinya.

Selain itu, dia juga berdepan kesukaran mendapatkan bekalan benih ketam nipah disebabkan pasaran ketam lembut semakin mengukuh.

“Saya terpaksa bersaing dengan peraih besar, pengusaha restoran stimbot dan pemborong yang mengeksport hasil laut terus ke China.

“Namun saya bersyukur, kerana selama berkecimpung dalam bidang ini saya telah membina rangkaian pembekal sendiri. Ada kira-kira 50 nelayan dari kawasan sekitar seperti Sungai Munyit,  Kuala Gum-Gum dan Batu Lapan, yang membekalkan benih ketam kepada saya,” ujarnya.

BENIH ketam nipah yang telah menjadi ketam lembut atau soft-shell crab iaitu sejenis makanan eksotik yang memberikan pulangan lumayan di Kampung Bambangan. Foto BERNAMA

REZEKI KOMUNITI

Selepas lebih 13 tahun menternak ketam lembut, perniagaan Suhaili kian berkembang dan kini mempunyai lebih 50 sangkar yang mengeluarkan kira-kira 500 hingga 600 kilogram ketam lembut sebulan.

“Dulu, semasa kemuncak pada 2019 hingga 2021, saya dapat tuai hingga satu tan sebulan. Namun bagi memastikan operasi lebih teratur, kini saya hadkan pengeluaran pada kadar konsisten agar lebih mampan,” katanya, menambah ketam tersebut diedarkan ke restoran makanan laut di sekitar Sabah serta pengusaha burger jalanan.

“Ada juga dibeli orang tengah untuk pasaran luar negara. Sekarang harga ketam lembut ini dalam lingkungan RM35 sekilogram,” tambahnya.

Lebih membanggakan, kawasan sangkar ternakan Suhaili kini telah disenaraikan sebagai satu produk pelancongan berasaskan komuniti (CBT) di Kampung Bambangan.

Lokasi uniknya yang hanya mengambil masa kira-kira 10 minit perjalanan bot dari Jeti Kampung Bahagia, Batu Sapi, berjaya menarik perhatian pelancong. Baru-baru ini, kawasan penternakannya menerima kunjungan 16 pelancong dari Eropah yang teruja melihat sendiri secara dekat penghasilan ketam lembut tersebut.

PERAIRAN Kampung Bambangan berpotensi untuk dijadikan kawasan penternakan ketam nipah untuk dijadikan sebagai ketam lembut atau soft-shell crab ketika tinjauan baru-baru ini. Foto BERNAMA

MERENTAS SEMPADAN

Kejayaan yang dikecapi hari ini tidak dibina secara sendirian. Suhaili sentiasa menghargai peranan penting agensi kerajaan, khususnya Jabatan Perikanan Sabah yang mula menghulurkan bantuan sejak perusahaannya mendapat perhatian pada 2017.

Melalui Program Latihan Akuakultur (PLAK), dia bukan sahaja menerima khidmat nasihat dan kursus bimbingan secara berterusan, malah mendapat sokongan material seperti bekalan kayu untuk membaik pulih sangkar, enjin bot serta bantuan daripada Pertubuhan Peladang Kawasan.

Kini, dengan geran yang disediakan, dia merancang untuk memodenkan sistem penternakannya pada masa depan selain membawa ketam lembut Sandakan ke pentas antarabangsa.

“Impian untuk mengeksport terus secara besar-besaran memang ada, tetapi untuk mencapai tahap itu perlukan penelitian lebih mendalam dari segi kos operasi, kapasiti pengeluaran, logistik serta kerjasama masyarakat dan agensi berkaitan,” katanya.

Menegaskan perniagaan itu bukan sekadar mengejar keuntungan wang ringgit, Suhaili berkata dia sebaliknya menjadikan empat prinsip sebagai pegangan, iaitu memberi manfaat kepada ekonomi keluarga; mengangkat status ekonomi masyarakat setempat; berbakti kepada bangsa; dan akhirnya mengharumkan nama negara.

Empayar ketam lembut Suhaili di perairan Bambangan kian dikenali, namun di sebalik itu perusahaan tersebut juga membuktikan revolusi ekonomi luar bandar boleh bermula daripada sebuah idea ringkas yang disusuli dengan keberanian tanpa batas. – Bernama

Continue Reading

Previous: Eksklusif: Dari robot arnab ke filem AI 50 minit, kisah di sebalik S.I.A.G.A 786: Black Ops

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.