
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini menafikan dakwaan yang terkandung dalam satu artikel portal berita yang mendakwa badan induk itu mengeluarkan amaran kepada Sarawak berhubung kedudukan liga negeri berkenaan dalam piramid bola sepak kebangsaan.
Dalam satu kenyataan, FAM menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan, kenyataan rasmi atau amaran seperti yang didakwa. Malah, badan induk bola sepak negara itu juga tidak terlibat dalam menghasilkan, meluluskan atau memberikan komen terhadap sumber yang dirujuk dalam laporan berkenaan.
“Tiada sebarang arahan, kenyataan rasmi atau amaran pernah dikeluarkan oleh FAM melalui mana-mana saluran rasmi atau tidak rasmi bagi menyokong kandungan yang diterbitkan portal berkenaan,” menurut kenyataan itu.
FAM menjelaskan bahawa Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) Datuk Ong Kim Swee telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) Datuk Fazzrudin Abdul Rahman baru-baru ini bagi menyelaraskan laluan pembangunan bola sepak di Sarawak.
Menurut FAM, pertemuan itu turut membincangkan garis panduan berkaitan pembangunan akar umbi serta perjalanan pemain daripada peringkat belia ke arah bola sepak profesional secara lebih terancang dan berstruktur.
Pada masa sama, FAM menegaskan bahawa sebarang kenyataan yang dikaitkan dengan badan itu perlu disalurkan menerusi platform rasmi dan bukannya bersandarkan sumber tidak dikenali yang boleh mengelirukan masyarakat.
Justeru, FAM menyifatkan tindakan mana-mana pihak yang membangkitkan isu berkaitan struktur atau kerangka tadbir urus bola sepak tanpa mendedahkan identiti secara jelas atau mengemukakan bukti yang boleh disahkan mengenai penglibatan badan induk itu sebagai tidak wajar.
FAM turut memberi amaran bahawa sebarang penyebaran dakwaan yang tidak disahkan dalam ruang awam akan dipandang serius dan tindakan sewajarnya boleh diambil terhadap pihak yang terlibat. – Bernama