
KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) bank tanpa membayar yuran RM1 bermula 1 Julai 2026.
Menurut kenyataan bersama tiga persatuan industri perkhidmatan kewangan hari ini, inisiatif itu membolehkan pemegang kad debit Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank penerbit mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.
Tiga persatuan terlibat ialah Persatuan Bank-bank di Malaysia (ABM), Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM), dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM).
“Inisiatif ini membolehkan pemegang kad debit Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank penerbit mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had,” kata kenyataan itu sambil menambah pengecualian hanya terpakai kepada ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank di Malaysia.
Menurut persatuan itu, inisiatif tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), sekali gus mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan mudah diakses, inklusif dan mampu milik bagi semua pelanggannya.
“Industri perbankan mengakui bahawa wang tunai kekal sebagai cara pembayaran yang penting dan satu keperluan bagi kebanyakan rakyat Malaysia dalam menguruskan kehidupan seharian mereka.
“Sejajar dengan ini, penghapusan yuran pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, selain membantu meringankan beban kewangan harian rakyat,” tambah mereka. – Bernama