
SARIKEI: Sebanyak 48 pain darah berjaya dikumpulkan menerusi Kempen Derma Darah yang diadakan sempena Hari Penderma Darah Sedunia 2026, sekali gus membantu meningkatkan bekalan darah bagi keperluan pesakit di Hospital Sarikei.
Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Cabang Sarikei berkata, kempen tersebut berjaya menarik penyertaan masyarakat pelbagai lapisan, termasuk tiga penderma baharu yang tampil menderma darah buat pertama kali.
Katanya, sambutan Hari Penderma Darah Sedunia yang diraikan setiap 14 Jun merupakan penghargaan kepada jutaan penderma darah sukarela di seluruh dunia yang menyumbang kepada penyelamatan nyawa setiap hari.
“Setiap tahun pada 14 Jun, dunia bersatu meraikan Hari Penderma Darah Sedunia sebagai penghormatan kepada jutaan penderma darah sukarela yang telah membantu menyelamatkan nyawa.
“Sumbangan mereka amat penting dalam menyokong sistem kesihatan, termasuk membantu pesakit yang memerlukan transfusi darah ketika kecemasan, pembedahan, rawatan kanser, proses kelahiran dan pelbagai keadaan perubatan yang serius,” katanya dalam satu kenyataan media.
Kempen tersebut dianjurkan oleh PBSM Cabang Sarikei bersama Persatuan Pemuliharaan Hayat Sarikei dengan kerjasama Persatuan Klan Ying Yong Cheng dan Persatuan Kwong Wai di Dewan Serbaguna Restoran New Fortune pada semalam.
“Setiap pendermaan darah bukan sekadar satu tindakan perubatan, tetapi merupakan manifestasi kemanusiaan yang mampu memberi harapan dan peluang kedua kepada pesakit yang memerlukan.
“Setitis darah yang didermakan mampu menjadi talian hayat yang menghubungkan dan melindungi masyarakat tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Tambahnya, antara objektif utama kempen tahun ini adalah untuk meningkatkan jumlah penderma darah sukarela secara berterusan, memperluaskan kesedaran mengenai kepentingan pendermaan darah dan plasma, serta mengiktiraf sumbangan besar penderma darah kepada masyarakat.
“Selain itu, kempen ini turut bertujuan menggalakkan kerajaan dan pelbagai pihak berkepentingan terus memperkukuhkan program bekalan darah bagi memastikan akses kepada darah yang selamat dapat dinikmati oleh semua yang memerlukan.
“Walaupun kemajuan dalam bidang sains dan teknologi telah meningkatkan keselamatan proses transfusi darah, bekalan darah yang mencukupi masih bergantung kepada kesediaan masyarakat untuk menderma secara sukarela dan berkala.
“Masih terdapat banyak negara yang berdepan kekurangan bekalan darah dan akses yang tidak seimbang terhadap produk darah yang selamat,” katanya lagi.
Katanya, usaha berterusan daripada semua pihak amat penting bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi apabila diperlukan.
Turut hadir Setiausaha Kehormat PBSM Cabang Sarikei, Wong Siew Hung, Naib Pengerusi Persatuan Penjagaan Hayat Sarikei, Yii Ming Kee dan Pengerusi Persatuan Klan Ying Yong Cheng, Tang Tung Ngie.
Oleh Earl Anek