
ARLINGTON, Amerika Syarikat: Penyokong Jepun meninggalkan tempat duduk dalam keadaan bersih selepas perlawanan pembukaan Piala Dunia menentang Belanda di Texas pada Ahad, dengan menyatakan bahawa ia merupakan “budaya Jepun” untuk mengemas selepas diri sendiri, pagi tadi.
Para penonton kekal di stadium selepas keputusan seri 2-2 itu bagi memastikan mereka meninggalkan stadium dalam keadaan sama seperti ketika tiba, dengan mengutip sampah secara teliti dan memasukkannya ke dalam beg plastik berwarna biru.
Amalan tersebut dipelajari sejak di sekolah rendah, dan penyokong Jepun, Eita Tanaka, berkata kepada AFP bahawa “kami perlu memikirkan orang lain”.
“Orang Jepun berpendapat bahawa apabila menggunakan sesuatu tempat, mereka diajar supaya menjadikan tempat itu lebih bersih apabila meninggalkannya berbanding ketika tiba,” kata lelaki berusia 20 tahun itu sambil memegang bir dan beberapa cawan serta memakai jersi biru Jepun.

“Sebagai contoh, di sekolah, kami mengemas kelas sendiri tanpa perlu disuruh oleh guru.”
Jepun membuat penampilan pada Piala Dunia buat kali kelapan berturut-turut, dan sikap kebersihan penyokong mereka telah menjadi identiti antarabangsa negara itu.
Malah, pemain quarterback NFL Jameis Winston turut dilihat menyertai aktiviti pembersihan selepas perlawanan, dengan memakai jersi biru Jepun yang tertera namanya di bahagian belakang.
Penyokong Jepun, Futo Hagiwara, berkata beliau berbangga kerana tingkah laku rakyatnya mendapat pengiktirafan positif.
“Ini budaya kami, bermaksud di mana-mana sahaja kami pergi, kami perlu membersihkannya selepas digunakan; ini cara spiritual kami, sikap kami,” katanya.
Ahli sosiologi dan ahli falsafah, Masachi Ohsawa, berpendapat gabungan tanggungjawab sosial dan tekanan rakan sebaya menjadi punca tingkah laku tersebut.
“Walaupun orang Jepun cenderung tidak terlalu memberi perhatian kepada isu keadilan pada skala besar seperti ketidaksamaan global, konflik atau perubahan iklim mereka sangat sensitif terhadap pertimbangan moral pada skala kecil,” katanya.

“Apabila melibatkan orang yang berkongsi ruang yang sama atau mempunyai hubungan langsung, mereka sangat tidak mahu menimbulkan kesusahan atau ketidakselesaan.”
Budaya Kehidupan Sekolah
Kerja-kerja pembersihan merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan di Jepun sejak usia awal, dan murid-murid dilihat membersihkan lantai dan meja di sekolah setiap hari.
Tong sampah awam juga jarang ditemui di negara itu, dan orang ramai dijangka membawa pulang sampah masing-masing.
Pelupusan sisa rumah pula boleh menjadi proses yang rumit kerana perlu diasingkan mengikut kategori tertentu.
Profesor emeritus sosiologi Universiti Osaka, Scott North, berkata beliau dan jirannya berkumpul dua kali setahun untuk mencabut rumpai dan mengutip sisa taman.
Beliau berkata kumpulan tersebut diorganisasikan dengan pemimpin dan pengikut, serta berfungsi hampir sama seperti penyokong bola sepak Jepun.
“Apabila semua orang berkumpul, wujud jangkaan bahawa mereka akan bertindak sebagai satu kumpulan,” kata North, warga Amerika yang telah menetap di Jepun hampir 40 tahun.
“Dan apabila pemimpin mengeluarkan beg sampah dan berkata ‘ini dia’, tiada siapa akan menolak.”
Ohsawa berkata tingkah laku itu juga boleh dijelaskan melalui konsep “membaca suasana”.
“Di Jepun, walaupun seorang sahaja mula mengutip sampah, orang di sekeliling biasanya akan turut serta,” katanya.
“Itu kerana jika mereka tidak berbuat demikian, orang lain akan menganggap mereka seorang yang tidak baik.”
Beliau berkata tekanan rakan sebaya merupakan kuasa sosial yang kuat.
“Dalam kes ini, motivasi utama bukan semata-mata untuk memastikan stadium bersih atau mengelakkan beban kepada pekerja pembersihan,” katanya.
“Sebaliknya, ia lebih kepada tidak mahu dilihat sebagai pengganggu dalam kumpulan sendiri.”
Apa jua sebabnya, penyokong Jepun akan terus mengemas sepanjang pasukan mereka kekal dalam kejohanan itu.
Perlawanan seterusnya ialah menentang Tunisia di Mexico pada Sabtu, dan penyokong Hagiwara bersedia untuk terus menjadi contoh.
“Kami biasanya tidak menyuruh kanak-kanak melakukannya,” katanya.
“Kami hanya menunjukkan melalui tindakan dan tingkah laku, dan orang lain akan mengikut.” – AFP