
PETRA JAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) diminta berlaku adil terhadap semua syarikat penerbangan susulan tindakan mengeluarkan teguran kepada AirBorneo berhubung gangguan penerbangan yang berlaku baru-baru ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau mempersoalkan mengapa AirBorneo yang masih baharu dalam industri penerbangan menerima perhatian sedemikian, sedangkan syarikat penerbangan lain turut berdepan isu pembatalan dan kelewatan penerbangan.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada wujud layanan berbeza terhadap AirBorneo berbanding syarikat penerbangan lain.
“Jangan tegur AirBorneo sahaja. Kita lihat syarikat penerbangan lain seperti AirAsia dan Malaysia Airlines juga ada pembatalan penerbangan, tetapi kita tidak nampak perkara yang sama berlaku.
“Adakah pihak berkuasa ini dijaga oleh kartel syarikat-syarikat penerbangan besar sehingga mereka tidak berani mengeluarkan teguran yang sama?
“AirBorneo masih kecil tetapi berani pula ditegur. Berlaku adillah kepada semua syarikat penerbangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Festival Makanan dan Budaya Samarahan di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata, AirBorneo yang baru memulakan operasi pada awal tahun ini memerlukan masa untuk berkembang dan tidak wajar dibandingkan dengan syarikat penerbangan yang telah lama bertapak dalam industri.
Katanya, sebagai syarikat penerbangan yang masih di peringkat awal, AirBorneo sedang berusaha memperkukuhkan operasi dan memperluaskan rangkaian penerbangannya ke destinasi luar negara.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik laporan media Thailand yang menyatakan AirBorneo telah menerima peruntukan slot penerbangan untuk mengendalikan laluan terus antara Kuching dan Bangkok.
“Kita berharap AirBorneo akan terus berkembang dan menjadi lebih besar sehingga suatu hari nanti mampu berdiri setanding dengan syarikat penerbangan utama lain.
“Mana-mana perniagaan mempunyai titik permulaan dan AirBorneo baru sahaja memulakan operasinya pada awal tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, bagi membolehkan AirBorneo terbang ke destinasi seperti Bangkok, Hong Kong dan Jakarta, syarikat itu perlu memperoleh pelbagai kelulusan daripada pihak berkuasa penerbangan dan pengurusan lapangan terbang di negara terbabit.
Dalam pada itu, Abdul Karim berkata Pengarah Urusan AirBorneo dijadualkan memberi taklimat kepadanya petang ini berhubung perkembangan semasa dan perancangan syarikat penerbangan berkenaan.
Sebagai rekod, CAAM pada 10 Jun lalu memaklumkan pihaknya sedang memantau gangguan penerbangan melibatkan AirBorneo di Sabah dan Sarawak susulan kelewatan, pembatalan serta perubahan jadual penerbangan yang dikaitkan dengan isu operasi dan penyelenggaraan pesawat.
CAAM turut mengingatkan AirBorneo supaya mematuhi Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 dengan memastikan penumpang yang terjejas menerima maklumat, bantuan dan pilihan perjalanan alternatif yang sewajarnya.
Oleh Shahrul Qaizat