
KUCHING: AirBorneo dijangka melakar satu lagi pencapaian penting apabila pihak berkuasa penerbangan Thailand dilaporkan telah memperuntukkan slot penerbangan bagi membolehkan syarikat penerbangan milik Sarawak itu mengendalikan laluan terus ke Bangkok.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan perkembangan itu sebagai berita yang amat dialu-alukan dalam usaha mengembangkan rangkaian penerbangan AirBorneo ke destinasi antarabangsa.
Menurut beliau, AirBorneo masih berada pada peringkat awal operasi dan memerlukan masa untuk berkembang sebelum mampu menandingi syarikat penerbangan besar lain di rantau ini.
“Ini berita yang baik. Sudah tentu kita berharap AirBorneo akan terus berkembang dan menjadi lebih besar sehingga suatu hari nanti mampu berdiri setanding dengan syarikat penerbangan utama lain.
“Mana-mana perniagaan termasuk industri penerbangan mempunyai titik permulaan dan AirBorneo baru sahaja memulakan operasinya pada awal tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sidang media Festival Makanan dan Budaya Samarahan di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata, bagi membolehkan AirBorneo terbang ke destinasi seperti Bangkok, Hong Kong atau Jakarta, syarikat itu perlu mendapatkan pelbagai kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan di negara destinasi.
Katanya, proses mendapatkan kelulusan tersebut merupakan antara langkah penting dalam usaha memperluaskan operasi syarikat penerbangan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau turut meminta semua pihak memberi ruang kepada AirBorneo untuk berkembang tanpa membuat perbandingan tidak adil dengan syarikat penerbangan yang telah lama beroperasi.
“Berilah masa kepada AirBorneo untuk berkembang. Kita baru bermula dan masih dalam proses memperkukuhkan operasi serta rangkaian penerbangan,” katanya.
Sebagai rekod, laluan penerbangan terus Kuching-Bangkok dilaporkan semakin hampir menjadi kenyataan selepas pihak berkuasa penerbangan Thailand memperuntukkan slot lapangan terbang kepada AirBorneo bagi operasi penerbangan antara Kuching dan Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok bagi musim jadual penerbangan musim sejuk 2026/2027.
Menurut laporan media Thailand, AirBorneo merupakan antara empat syarikat penerbangan baharu yang menerima peruntukan slot tersebut semasa Persidangan Slot Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) Ke-158 yang berlangsung di Bangkok dari 9 hingga 11 Jun lalu.
Laluan berkenaan dilaporkan diperuntukkan sebanyak 14 penerbangan seminggu antara Kuching dan Bangkok bagi tempoh operasi dari 25 Oktober 2026 hingga 27 Mac 2027, sekali gus menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha AirBorneo memperluaskan rangkaian penerbangan antarabangsanya.
Oleh Shahrul Qaizat