
PADAWAN: Pengurusan dan pemantauan sekolah akan diperkemaskan melalui pendekatan lebih teliti susulan dakwaan salah laku membabitkan seorang guru di Lawas baru-baru ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, langkah penambahbaikan itu penting bagi memastikan sistem pengurusan sekolah berada pada tahap lebih berkesan serta mengekalkan integriti warga pendidik.
Beliau berkata, walaupun insiden seumpama itu tidak sepatutnya berlaku, ia merupakan isu manusia yang boleh terjadi dan perlu ditangani melalui pengukuhan sistem sedia ada.
“Perkara ini sepatutnya tidak berlaku. Ini adalah isu manusia. Kita tidak mahu perkara seperti ini berlaku, tetapi ia tetap boleh terjadi. Jadi apa yang boleh kita lakukan adalah memperketatkan pengurusan di sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan salah laku membabitkan seorang guru di Lawas yang tular di media sosial selepas merasmikan program Pemangkin STEM 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padawan, di sini hari ini.
Menurutnya, pentadbir sekolah memainkan peranan penting dalam memastikan aspek bimbingan, pemantauan serta disiplin dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
“Terutamanya mereka yang memegang jawatan pentadbiran di sekolah, perlu memberikan pendidikan dan bimbingan yang mencukupi kepada guru-guru serta pelajar,” tegasnya.
Tambah beliau, kementerian turut menekankan keperluan amaran serta tindakan tegas terhadap mana-mana pelanggaran etika dalam kalangan warga pendidik.
“Kedua, perlu ada amaran tegas terhadap perkara-perkara yang salah dan tidak sepatutnya berlaku,” ujarnya
Oleh Adele Rissa