
MANILA, Filipina: Gempa bumi kuat yang mengorbankan sekurang-kurangnya 61 nyawa di Filipina minggu ini telah menyebabkan dasar laut terangkat sehingga dua meter, sekali gus mendedahkan terumbu karang dan menjejaskan hidupan marin, menurut Jabatan Alam Sekitar negara itu pada hari ini.
Gempa bumi bermagnitud 7.8 yang melanda selatan Pulau Mindanao pada Isnin lalu turut menyebabkan sekurang-kurangnya 40 masih hilang, menurut angka terkini yang dikeluarkan agensi pengurusan bencana negara itu.
Jabatan Alam Sekitar memaklumkan bahawa penduduk tempatan mula melaporkan fenomena geologi yang dikenali sebagai ‘pengangkatan pesisir pantai’ (coastal uplift) dua hari selepas gempa berlaku, yang menyebabkan garis pantai memanjang sehingga 200 meter di beberapa kawasan.

Menurut Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs), pergerakan di Jurang Cotabato telah menolak sebahagian kawasan pesisir di wilayah Sarangani dan Davao Occidental ke atas, sekali gus mendedahkan dasar laut yang sebelum ini berada di bawah permukaan air.
“Ketinggian pengangkatan yang direkodkan adalah kira-kira dua meter,” menurut kenyataan institut itu.
Jurang Cotabato, yang terletak kira-kira 50 kilometer dari pesisir selatan Mindanao, merupakan kawasan yang kerap mengalami aktiviti seismik, termasuk ribuan gegaran kecil yang direkodkan dalam satu siri gempa pada Januari lalu.
Pasukan yang dihantar ke lokasi mendapati kawasan pantai yang luas, termasuk terumbu karang dan padang rumpai laut, telah terdedah akibat perubahan dasar laut tersebut.
Seorang pegawai yang ditemui AFP berkata, pihak berkuasa masih belum dapat menentukan keluasan sebenar kawasan yang terjejas memandangkan proses tinjauan masih dijalankan.
Imej yang dikeluarkan pejabat wilayah Jabatan Alam Sekitar menunjukkan kawasan terumbu karang yang luas terdedah di permukaan, dengan ikan mati dan pelbagai hidupan akuatik lain kelihatan bergelimpangan di atasnya.
Pada peringkat awal, penduduk melaporkan perubahan itu kerana bimbang asap atau bau yang terhasil daripada pereputan hidupan laut boleh menjejaskan kesihatan mereka.
“Terumbu karang dan padang rumpai laut yang terdedah ini mula mati bersama organisma yang hidup di dalamnya seperti ikan terumbu, belut, kerang dan siput laut,” menurut Jabatan Alam Sekitar. – AFP