
BINTULU: Seramai 717 peserta terdiri daripada kakitangan, agensi kerajaan, pihak berkepentingan serta orang awam menyertai Larian Anti Penyalahgunaan Dadah Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) 2026 yang berlangsung di Dewan Suarah Bintulu, hari ini.
Program tersebut dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah di samping menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Majlis telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee yang hadir sebagai tetamu kehormat.
Menurut BPHB, penganjuran program itu merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat dalam mewujudkan persekitaran yang selamat, sihat dan bebas dadah, selain meningkatkan kesedaran mengenai kesan buruk penyalahgunaan dadah, menggalakkan gaya hidup aktif serta mengukuhkan kerjasama dengan agensi penguat kuasa.

Inisiatif tersebut turut mencerminkan sokongan berterusan BPHB terhadap usaha anti dadah di peringkat nasional melalui kerjasama strategik bersama AADK, PDRM dan SPRM.
Melalui program kesedaran dan promosi gaya hidup positif, BPHB terus memainkan peranan dalam membina komuniti yang lebih selamat, sihat dan berdaya tahan.
Turut hadir Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Ruslan Abdul Ghani; Ketua Polis Daerah Bintulu, Nixon Joshua Ali; Ketua Cawangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Glenn Lores; serta Ketua Daerah Agensi Antidadah Kebangsaan, Mohd Dzulfikhar Abdul Rahim.
Oleh Faizah Muzidi