
SARIKEI: Kejayaan terbesar diraih Sarawak di bawah tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ialah Cukai Jualan Negeri (SST), sekali gus melonjakkan hasil negeri serta menjadi penyumbang terbesar.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, hasil negeri meningkat sebanyak kira-kira RM3 bilion hingga RM5 bilion setahun.
“Ini adalah adalah antara tiga perkara penting hasil kejayaan tuntutan kita di bawah MA63. Kejayaan pelaksanaan cukai jualan sebanyak lima peratus ke atas komoditi petroleum yang dieksport, ini meningkatkan hasil negeri.
“Ada 25 tuntutan yang kita kemukakan. Banyak hak yang telah kita berjaya dapat, sembilan kesemuanya…masih ada yang belum selesai lagi yang kita akan teruskan.
“Inilah penting kita berjuang untuk MA63…dengan perjuangan ini, kita dapat duit tambahan untuk negeri Sarawak.
“Duit ini diturunkan kepada rakyat di seluruh negeri Sarawak. Sebab itu kita lihat sekarang ini, banyak pembangunan dibina oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat khas mengenai status terkini tuntutan MA63 pada majlis makan malam Simpulan Kasih Wanita PBB Zon 7, bertempat di Dewan Serbaguna Kampung Seberang Sarikei, malam tadi.
SST Kekal penyumbang terbesar hasil negeri dan sejak diperkenalkan pada Januari 2019, telah menjana RM24.77 bilion kepada kerajaan Sarawak.
Sharifah Hasidah yang juga Timbalan Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak berkata dalam jangka masa ini, banyak hak Sarawak terhakis. Sebab itu katanya, sekarang di bawah kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membuat tuntutan itu.
“Kita lihat sekarang ini, 20 jambatan dibina di negeri Sarawak. Baru-baru ini, kita lihat ada Jambatan Batang Lupar 1 iaitu jambatan paling panjang merentasi sungai di Malaysia.
“Bermula tahun ini, pendidikan percuma turut diberikan kepada anak-anak Sarawak yang masuk universiti di negeri Sarawak. Semua ini kerana hasil negeri bertambah,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai dua lagi kejayaan melalui tuntutan di bawah MA63 itu, beliau berkata ia adalah hasil bumi di sempadan laut negeri Sarawak yang menjadi hak orang Sarawak.
“Maka kita boleh dapat kongsi keuntungan daripada minyak dan gas kita. Ini adalah hak kita dan tidak boleh dirunding.
“Satu lagi iaitu yang ketiga adalah hak negeri ke atas pelantar benua atau Continental Shelf, di mana minyak atau gas atau apa-apa sampai ke tebing benua merupakan hak kita dan ini tidak boleh dirunding oleh sesiapa,” tegasnya.
Dalam pada itu, katanya, perjuangan menuntut hak-hak yang telah terhakis sentiasa diteruskan kerajaan GPS.
“Perjuangan kita ini merupakan perjuangan yang mesti diteruskan. Ia bukan sesuatu yang mudah.
“Kerajaan GPS perlu terus memperjuangkan hak-hak kita yang masih belum selesai.“Kita tidak mahu dipermain, dilupakan dan dipinggirkan lagi dalam pembangunan dan perjalanan negara ini,” katanya.
Oleh itu kata beliau, kesedaran dan pemahaman mengenai MA63 perlu terus diperkukuhkan agar rakyat Sarawak memahami hak-hak negeri yang termaktub dalam perjanjian tersebut serta kepentingannya kepada pembangunan dan masa depan Sarawak.
Sharifah Hasidah menjelaskan MA63 bukan sekadar dokumen sejarah, sebaliknya merupakan asas penting kepada pembentukan Malaysia dan kedudukan Sarawak dalam Persekutuan.
Katanya, MA63 boleh diibaratkan sebagai ‘sijil kelahiran’ Malaysia yang ditandatangani berdasarkan syarat dan terma tertentu bagi melindungi hak-hak yang dimiliki Sarawak ketika pembentukan negara.
“MA63 adalah perjanjian yang melahirkan negara Malaysia. Ia seperti sijil kelahiran Malaysia dan merupakan perjanjian bertaraf antarabangsa yang ditandatangani berdasarkan syarat-syarat dan terma-terma, di mana kita mahu hak-hak kita yang sedia ada dipertahankan.
“Hak-hak itu adalah hak imigresen kita, hak minyak dan gas kita, hak kita untuk mengekalkan bahasa dan budaya kita, kekalkan bahasa inggeris, hak kewangan dan hak pentadbiran,” katanya.
Tambahnya, dalam tempoh yang panjang, banyak hak Sarawak telah terhakis, menyebabkan kerajaan Sarawak di bawah GPS mengambil langkah mengemukakan 25 tuntutan berkaitan MA63 kepada Kerajaan Persekutuan.
Beliau juga berharap rakyat Sarawak, khususnya generasi muda dan ahli-ahli Wanita PBB, terus memahami sejarah serta kepentingan MA63 agar perjuangan mempertahankan hak negeri dapat diteruskan demi masa depan Sarawak yang lebih maju dan makmur.
Oleh Earl Anek