
SIBU: Kesedaran mengenai pendermaan organ perlu terus diperkukuh dalam kalangan masyarakat, khususnya melalui pendidikan dan kefahaman ahli keluarga mengenai kepentingan amalan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkata, pendermaan organ merupakan satu amalan mulia yang mampu memberi peluang kedua kepada pesakit yang memerlukan rawatan pemindahan organ untuk meneruskan kehidupan.
Menurutnya, beliau sendiri telah mendaftar sebagai penderma organ ketika menghadiri program sempena Hari Penderma Sedunia beberapa tahun lalu kerana percaya bahawa pendermaan organ mampu memberi manfaat besar kepada masyarakat.
“Ini bukan sahaja satu sumbangan kemanusiaan, malah memberi harapan baharu kepada pesakit yang sedang menunggu organ untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2026 anjuran Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Cabang Sibu di salah sebuah hotel terkemuka, di sini hari ini.
Katanya, masih ramai anggota masyarakat dan ahli keluarga yang kurang memahami konsep pendermaan organ, sekali gus menyebabkan kadar pendaftaran penderma organ masih rendah.
“Tanpa kesedaran yang mencukupi, ramai pesakit yang memerlukan organ mungkin kehilangan peluang untuk meneruskan kehidupan,” ujarnya.
Chieng menggalakkan mereka yang berhasrat menjadi penderma organ supaya memaklumkan keputusan tersebut kepada pasangan dan ahli keluarga lebih awal.
Beliau turut menyambut baik peningkatan kesedaran masyarakat mengenai pendermaan organ dan berharap lebih ramai rakyat tampil mendaftar sebagai penderma pada masa hadapan.
Turut hadir ialah Pengerusi PBSMM Cawangan Sibu, Penghulu Chua Hiong Kee, Pengerusi Penganjur Hari Penderma Darah Sedunia 2026 yang juga Naib Pengerusi PBSMM Cawangan Sibu, Dr Rachel Teng Li Cin serta yang lain.
Oleh Akun Giman