Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Isu bekalan air Kampung Gerigat perlu diselesaikan segera – Chee Kadir
  • Tengah
  • WILAYAH

Isu bekalan air Kampung Gerigat perlu diselesaikan segera – Chee Kadir

Utusan Sarawak 7 hours ago
DATO Mohd Chee Kadir semasa menghadiri Majlis Libat Urus Berkaitan Masalah Bekalan Air di Gerigat dekat sini semalam. Foto ADUN Kabong

KABONG: Masalah bekalan air yang berlarutan di Kampung Gerigat perlu diberikan perhatian serius dan diselesaikan segera bagi menjamin kesejahteraan serta keselesaan penduduk setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan memandangkan ia memberi kesan langsung kepada kehidupan harian penduduk termasuk institusi pendidikan di kawasan tersebut.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Libat Urus Berkaitan Masalah Bekalan Air di Gerigat yang diadakan bagi membincangkan pelbagai isu bekalan air yang sedang dihadapi oleh penduduk kampung itu.

Menurut beliau, sesi libat urus tersebut menjadi platform penting untuk penduduk menyuarakan pandangan dan permasalahan mereka secara terus kepada pihak berkaitan agar penyelesaian yang lebih berkesan dapat dilaksanakan.

Antara isu yang dibangkitkan oleh penduduk ialah gangguan bekalan air yang berlaku secara tidak menyeluruh, di mana hanya sebahagian rumah mengalami masalah bekalan air terputus manakala rumah lain masih menerima bekalan seperti biasa.

Selain itu, penduduk turut melahirkan kebimbangan terhadap bekalan air yang dihantar menggunakan lori tangki kerana jumlahnya didapati tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan penduduk ketika gangguan bekalan berlaku.

Mereka juga mencadangkan agar saluran bekalan air paip ke Kampung Gerigat dibuat secara terus dan tidak lagi menjadi kawasan hujung selepas bekalan disalurkan ke beberapa kawasan lain, sekali gus diharap dapat meningkatkan tekanan serta kestabilan bekalan air.

Masalah bekalan air tersebut turut menjejaskan operasi sekolah di kawasan berkenaan apabila pihak pengurusan berdepan kesukaran mendapatkan sumber air bersih yang mencukupi untuk kegunaan harian murid dan warga sekolah.

Dalam sesi tersebut, pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Betong mengakui bahawa bekalan air ke Kampung Gerigat sememangnya tidak mencukupi berikutan saluran paip sedia ada hanya berukuran enam inci.

Pihak JBALB turut mengambil maklum segala cadangan dan pandangan yang dikemukakan oleh ADUN Kabong serta penduduk, selain akan meneliti langkah-langkah yang bersesuaian bagi menangani masalah berkenaan.

Dalam ucapannya, Chee Kadir merakamkan penghargaan kepada JBALB Bahagian Betong kerana sudi turun padang dan mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi oleh penduduk Kampung Gerigat.

Beliau berharap tindakan susulan dapat dilaksanakan secepat mungkin agar isu bekalan air yang berlarutan dapat diselesaikan demi memastikan kemudahan asas yang lebih baik untuk masyarakat setempat.

Turut hadir ialah Jurutera JBALB Bahagian Betong, Andreas Inchatekoster Anyap; Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kabong, Ahmad Sabree selaku; Penghulu Wahab Samsu; Ketua Kaum Abang Ahmad Abang Resdi; Ketua Kaum Abang Syarif Abang Fadil, Kaunselor Bangsawan serta penduduk sekitar.

Oleh Adi Safarman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Ular cincin emas 1.5 meter sembunyi di tiang elektrik berjaya ditangkap APM
Next: 50 calon SPM perkukuh persediaan menerusi seminar khas

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.