
KUALA LUMPUR: Kanada, yang sinonim dengan hoki ais, berharap penganjuran Piala Dunia FIFA 2026 mampu mencetuskan gelombang baharu populariti sukan bola sepak di negara itu.
Sebagai tuan rumah bersama Amerika Syarikat (AS) dan Mexico, Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia Jodi Robinson berkata kejohanan bola sepak terbesar dunia itu berpotensi mempercepat perkembangan sukan berkenaan selain memberi inspirasi kepada generasi baharu pemain dan penyokong di negara itu.
“Sejujurnya, saya berharap begitu. Saya fikir Kanada kini mula memberi lebih perhatian kepada pasukan kebangsaan mereka.
“Selain hoki ais, kami juga mula menyalurkan lebih banyak dana kepada pemain bola sepak kerana itu merupakan antara perbezaan Kanada berbanding beberapa negara lain, dan usaha itu kini sedang berkembang,” katanya kepada pemberita pada majlis tayangan perlawanan Kumpulan D membabitkan AS menentang Paraguay di sini hari ini.
AS menewaskan Paraguay 4-1 dalam perlawanan berlangsung di Stadium Los Angeles.
Robinson berkata keterujaan terhadap kejohanan itu dirasai di seluruh Kanada, kerana ini merupakan kali pertama negara berkenaan menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA.
“Rakyat Kanada sangat teruja mengenainya. Mungkin Kanada tidak begitu terkenal sebagai kuasa bola sepak dunia, namun saya boleh katakan rakyat di seluruh negara bermain bola sepak.
“Mereka menggemari sukan ini. Jadi apabila Piala Dunia FIFA dianjurkan di laman sendiri, selain bersama negara jiran dan sahabat iaitu AS dan Mexico, ini sememangnya satu tempoh yang amat mengujakan,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Timbalan Ketua Misi Kedutaan AS Morgan O’Brien berkata kejohanan berkenaan merupakan peluang terbaik untuk mempamerkan kepelbagaian budaya serta tarikan yang terdapat di Amerika Utara kepada masyarakat global.
Beliau berkata Piala Dunia itu juga menjadi platform ideal untuk mengalu-alukan kehadiran pelawat dari seluruh dunia selain menggalakkan mereka meneroka ketiga-tiga negara tuan rumah terbabit.
Mengenai tayangan perlawanan hari ini, beliau berkata program berkenaan menjadi platform kepada perwakilan diplomatik negara-negara Amerika Utara di Malaysia untuk bersama-sama meraikan Piala Dunia FIFA 2026 bersama peminat bola sepak tempatan.
AS pernah menjadi tuan rumah Piala Dunia pada 1994, manakala Mexico telah menganjurkan kejohanan itu sebanyak dua kali sebelum ini iaitu pada 1970 dan 1986.
Piala Dunia FIFA 2026 menampilkan 48 pasukan, menjadikannya edisi terbesar dalam sejarah bola sepak dunia sejak edisi sulung diperkenalkan di Uruguay pada 1930.
Saingan yang membuka tirainya pada Khamis itu akan berlangsung hingga 19 Julai depan.- Bernama