Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Pembinaan PPD Selangau yang baharu tingkat kecekapan pentadbiran pendidikan
  • PENDIDIKAN

Pembinaan PPD Selangau yang baharu tingkat kecekapan pentadbiran pendidikan

Utusan Sarawak 6 hours ago
ADUN Tamin, Ir Christopher Gira Sambang melakukan simbolik pecah tanah pada Majlis Pecah Tanah PPD Selangau hari ini.

SELANGAU: Pembinaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Selangau yang baharu bernilai RM35 juta bakal memperkukuh sistem pengurusan dan penyampaian perkhidmatan pendidikan, sekali gus memberi manfaat kepada sekolah, guru serta pelajar di daerah ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir Christopher Gira Sambang berkata, projek tersebut merupakan satu langkah penting dalam usaha kerajaan meningkatkan kualiti pentadbiran pendidikan, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Menurutnya, pendidikan merupakan asas utama pembangunan masyarakat dan kemajuan sesebuah kawasan bukan sahaja bergantung kepada pembangunan fizikal, malah ditentukan oleh kualiti modal insan yang dilahirkan menerusi sistem pendidikan yang berkesan.

“Di Selangau, banyak sekolah terletak di kawasan luar bandar dan pedalaman yang memerlukan perhatian khusus dari segi kemudahan, akses serta penyampaian perkhidmatan pendidikan.

“Justeru, pembangunan kemudahan pendidikan yang lebih baik perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan setiap murid memperoleh peluang pendidikan berkualiti tanpa mengira lokasi,” katanya pada Majlis Pecah Tanah PPD Selangau di sini, hari ini.

Menurut beliau, sebelum ini operasi PPD Selangau dijalankan di premis rumah kedai yang disewa kerajaan, dengan kemudahan yang terhad serta kurang sesuai untuk menampung keperluan pentadbiran yang semakin berkembang.

UNTUK ALBUM…Gira merakam kenangan bersama tetamu yang hadir pada Majlis Pecah Tanah PPD Selangau hari ini.

“PPD memainkan peranan penting sebagai penghubung antara dasar pendidikan di peringkat negeri dan Persekutuan dengan pelaksanaannya di sekolah-sekolah.

“Menerusi pembinaan pejabat baharu ini bukan sahaja menyediakan ruang kerja yang lebih teratur dan selesa kepada kakitangan pendidikan, malah akan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada sekolah, guru, pelajar dan masyarakat di seluruh daerah Selangau,” ujarnya.

Dalam pada itu, Gira berkata, pembinaan PPD baharu tersebut merupakan sebahagian daripada agenda pembangunan pendidikan yang sedang dilaksanakan kerajaan di daerah berkenaan.

Antara projek utama yang sedang dilaksanakan ialah pembinaan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selangau bernilai RM81 juta, projek gantian baharu asrama lelaki, dewan makan serta naik taraf sistem air terawat di SMK Ulu Balingian.

Selain itu, kerajaan turut memberi perhatian terhadap usaha membina semula dan menaik taraf beberapa sekolah daif termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Sepiring, SK Batu 36, SK Dijih dan SK Penghulu Imban.

Beliau yakin pelaksanaan projek-projek tersebut akan memperkukuh akses pendidikan serta membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda di Selangau untuk melanjutkan pelajaran dan meningkatkan taraf hidup mereka pada masa hadapan.

“Pembangunan yang kita laksanakan hari ini bukan sekadar membina bangunan, tetapi membina masa depan rakyat melalui pendidikan yang berkualiti,” katanya.

Oleh Tarani Lanting

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Pendidikan perlu sokongan menyeluruh semua pihak – Dr Safiee
Next: PPD Selangau baharu pemangkin transformasi pendidikan luar bandar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.