Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Shakira, Burna Boy hangatkan suasana upacara pembukaan Piala Dunia
  • SUKAN

Shakira, Burna Boy hangatkan suasana upacara pembukaan Piala Dunia

Utusan Sarawak 11 hours ago

Shakira membuat persembahan semasa upacara pembukaan Piala Dunia 2026.

MEXICO CITY: Shakira dan penyanyi Nigeria, Burna Boy, berjaya membuat penonton bangun dari tempat duduk mereka dalam upacara pembukaan Piala Dunia 2026 di Estadio Azteca awal pagi tadi (waktu Malaysia),menjelang perlawanan pembukaan antara tuan rumah bersama, Mexico dan Afrika Selatan.

Kejohanan yang menampilkan 48 pasukan itu turut dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat dan Canada, melibatkan 104 perlawanan sebelum berakhir dengan perlawanan akhir di New Jersey pada 19 Julai.

Piala Dunia FIFA 2026 bermula dengan penuh gemilang menerusi upacara pembukaan yang meriah di Mexico City, sekali gus membuka tirai kejohanan bola sepak terbesar dunia itu. – Foto AFP.

Para penari berputar mengelilingi replika gergasi trofi Piala Dunia sambil bunga api menerangi stadium bersejarah berkapasiti 80,000 penonton itu, yang pernah menjadi venue perlawanan akhir Piala Dunia 1970 dan 1986 serta telah dinaik taraf untuk kejohanan tahun ini.

Kemuncak upacara menyaksikan Shakira dan Burna Boy mempersembahkan lagu rasmi kejohanan, Dai Dai, yang mencetuskan sorakan gemuruh daripada penonton.

Penyanyi, penulis lagu dan penerbit dari Colombia, Shakira, membuat persembahan semasa upacara pembukaan menjelang perlawanan bola sepak Kumpulan A Piala Dunia 2026 antara Mexico dan Afrika Selatan di Stadium Mexico City, Mexico City. Foto AFP.

J Balvin dan Andrea Bocelli turut membuat persembahan sebelum sepak mula ketika suasana semakin meriah.

“Mexico sudah pun berpesta,” kata penyokong berusia 40 tahun, Ingrid Orozco, kepada AFP.

“Ia menakjubkan,” tambah Gustavo Ramírez, 19 tahun.

Walaupun suasana di dalam stadium penuh kemeriahan, keadaan di pusat bandar Mexico City menjadi kelam-kabut apabila ribuan penyokong bertolak-tolakan untuk memasuki zon peminat rasmi Piala Dunia sejurus sebelum sepak mula.

Akses ke zon peminat di Zocalo Plaza terjejas akibat penghadang logam yang dipasang beberapa hari lalu bagi menghalang guru-guru yang mengadakan protes daripada memasuki kawasan tersebut.

“Berhenti menolak dan bertolak-tolakan, ada kanak-kanak di sini, kamu seperti haiwan!” jerit seorang pegawai bandar raya melalui pembesar suara ketika cuba mengawal kemasukan ke lokasi yang menayangkan perlawanan pembukaan di skrin gergasi.

Sebahagian penyokong turut membaling botol air, menghamburkan kata-kata kesat kepada polis serta melaungkan sokongan kepada pasukan Mexico.

“Keadaan ini gila,” kata penyokong berusia 25 tahun, Javier Maciel.

“Penganjuran sepatutnya boleh dilakukan dengan lebih baik.”

Kerajaan tempatan kemudian mengumumkan menerusi media sosial bahawa lokasi tersebut telah “penuh” dan mencadangkan penyokong menuju ke dataran lain. – AFP

Continue Reading

Previous: Tuan rumah Mexico menang bergaya untuk membuka tirai Piala Dunia
Next: RTM raikan pembukaan Piala Dunia FIFA 2026, himpun komuniti bola sepak di Angkasapuri

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.