

SARIKEI: Empat individu mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Rentap, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Aswandy Anis berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 11.00 pagi.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu lelaki berusia 24 tahun dari arah Hospital Sarikei menuju ke bandar Sarikei dipercayai melanggar empat kenderaan lain yang sedang berhenti menunggu lampu isyarat merah.
Kenderaan yang terlibat ialah sebuah Perodua Bezza, Perodua Kancil serta dua pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
Akibat pelanggaran tersebut, dua pemandu dan dua penumpang mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Sarikei menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Polis kini menjalankan siasatan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Ahmad Mustaqim di talian 010-4427240 bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini serta memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya terpelihara.