
KUCHING: Kerajaan Sarawak melancarkan Program Transformasi Syarikat Milik Kerajaan Negeri (SOE) bagi memperkukuh tadbir urus, meningkatkan prestasi dan memastikan entiti berkenaan lebih berdikari dari segi kewangan menjelang 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, SOE memainkan peranan penting dalam merealisasikan agenda pembangunan negeri, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, ekonomi digital dan industri bernilai tinggi.
Beliau berkata, kajian terhadap 36 SOE mendapati banyak entiti masih bergantung kepada geran kerajaan, justeru transformasi perlu dilaksanakan bagi mengurangkan kebergantungan tersebut serta meningkatkan keupayaan menjana pendapatan sendiri.

Menurutnya, pelaksanaan program itu dijangka mengurangkan keperluan geran operasi kerajaan sebanyak RM403 juta menjelang 2030, manakala 21 daripada 36 entiti yang dinilai disasarkan mencapai tahap berdikari dari segi kewangan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Transformasi SOE Sarawak: Ikrar Tadbir Urus Baik, Prestasi Tinggi dan Penciptaan Nilai di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Pada masa sama, kerajaan negeri telah meluluskan Dasar Pemilikan Negeri Sarawak (Sarawak SOP) dan memperkenalkan Kod Tadbir Urus Korporat SOE bagi memperkukuh akauntabiliti, ketelusan dan keberkesanan pengurusan.
Abang Johari turut mengarahkan semakan menyeluruh terhadap portfolio SOE negeri bagi memastikan setiap entiti kekal relevan, berdaya saing dan mampu mencipta nilai lebih besar kepada rakyat.
Beliau berkata, entiti yang tidak lagi memberikan nilai atau gagal mencapai matlamat penubuhannya perlu dipertimbangkan untuk distruktur semula, digabungkan, diswastakan atau ditutup mengikut keperluan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan setiap SOE perlu mengamalkan pendekatan ‘business unusual’ dengan meneroka peluang baharu, memanfaatkan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) serta meningkatkan kerjasama antara agensi dan syarikat berkaitan kerajaan.
Menurutnya, penggunaan AI dan transformasi digital bukan lagi pilihan, sebaliknya keperluan untuk meningkatkan produktiviti, mempercepat penyampaian perkhidmatan serta memperkukuh daya saing Sarawak di peringkat serantau dan global.
Beliau turut menekankan bahawa SOE perlu terus menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negeri melalui penciptaan peluang pekerjaan, pembangunan usahawan Bumiputera serta pengukuhan ekonomi luar bandar secara mampan.
Oleh Norman B