
BETONG: Seorang lelaki warga emas maut manakala seorang lagi lelaki cedera parah selepas kenderaan jenis Perodua Axia yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan kendiri di Lebuh Raya Pan Borneo dekat kawasan Pusingan-P, Tanjung Skrang, di sini hari ini.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.46 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong digerakkan ke lokasi.
Pasukan Keluaran Operasi (PKO) yang diketuai PBK II Mohamad Faizal Rashid tiba di lokasi pada 2.07 petang, kira-kira 20 kilometer dari balai, dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah Perodua Axia yang melanggar pembahagi jalan.
Kejadian itu melibatkan dua lelaki dewasa yang masih terperangkap di dalam kenderaan. Pemandu disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).


Sementara itu, penumpang yang berusia 30 tahun mengalami kecederaan parah dan memerlukan bantuan segera untuk dikeluarkan dari kenderaan yang remuk akibat impak kemalangan.
Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan khas Alat Penyelamat Kemalangan Jalan Raya (RTA) bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap. Penumpang berjaya dikeluarkan menggunakan pengusung sebelum diberikan rawatan awal oleh petugas perubatan.
Mangsa yang cedera seterusnya dihantar ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan lanjut, manakala mayat pemandu diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan dan siasatan selanjutnya.
Operasi yang turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM itu berjaya dikawal pada 3.15 petang sebelum ditamatkan lima minit kemudian setelah kerja-kerja pembersihan jalan selesai.
Seramai enam anggota bomba dengan sebuah jentera Jentera Penyelamat dan Pemadaman Kebakaran (FRT) dan sebuah kenderaan Perkhidmatan Perubatan dan Penyelamat Kecemasan (EMRS)terlibat dalam operasi tersebut.
Oleh Adi Safarman