
SIBU: Wanita berusia 30 hingga 65 tahun digesa tampil menjalani saringan kanser serviks bagi mengesan penyakit itu pada peringkat awal serta meningkatkan peluang rawatan yang lebih berkesan.
Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Sibu menerusi satu kenyataan berkata, kanser serviks merupakan antara kanser utama yang menjejaskan wanita di Malaysia, namun kadar penyertaan dalam program saringan masih membimbangkan.
Lebih 65 peratus wanita di negara ini tidak menjalani saringan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini meskipun perkhidmatan berkenaan disediakan secara percuma di fasiliti kesihatan kerajaan.
“Ramai wanita masih mengelak menjalani saringan kerana faktor takut, malu, stigma serta kurang kesedaran mengenai kepentingan pemeriksaan berkala,” katanya.
Kanser serviks sering dikenali sebagai ‘ancaman senyap’ kerana penyakit tersebut berkembang secara perlahan dan kebiasaannya tidak menunjukkan gejala pada peringkat awal.
Katanya, gejala seperti pendarahan faraj yang tidak normal, sakit semasa hubungan intim dan lelehan luar biasa lazimnya hanya muncul apabila penyakit itu telah memasuki tahap yang lebih serius.
Menurut kenyataan itu, lebih 90 peratus kes kanser serviks berpunca daripada jangkitan berterusan virus Papiloma Manusia (HPV) berisiko tinggi.
Sehubungan itu, ujian DNA HPV diperkenalkan sebagai kaedah saringan yang lebih moden dan tepat berbanding ujian pap smear konvensional.
:Ujian ini mempunyai kadar ketepatan melebihi 90 peratus dan boleh dilakukan sendiri menggunakan kit swab yang disediakan di klinik, sekali gus memberi lebih privasi dan keselesaan kepada wanita,” ujar kenyataan tersebut.
Tambahnya, wanita yang memperoleh keputusan negatif hanya perlu menjalani saringan sekali setiap lima tahun.
Perkhidmatan saringan DNA HPV kini ditawarkan secara percuma di klinik kesihatan kerajaan dan Klinik Nur Sejahtera Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di seluruh negara.
PKB Sibu menegaskan bahawa kanser serviks merupakan antara kanser yang paling boleh dicegah dan dirawat jika dikesan lebih awal.
Justeru, wanita yang layak digesa supaya memanfaatkan kemudahan saringan yang disediakan bagi melindungi kesihatan diri dan keluarga.
Oleh Akun Giman