
KOTA SAMARAHAN: Dua individu terselamat selepas kereta jenis Toyota Vios yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjatuh ke dalam parit berhampiran Masjid Desa Ilmu di sini, hari ini.
Kejadian yang berlaku sekitar 11.30 pagi itu melibatkan seorang lelaki warga Indonesia berusia 24 tahun dan seorang wanita tempatan berusia 22 tahun.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan kecemasan pada 11.30 pagi sebelum menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan ke lokasi.
Setibanya di lokasi pada 11.37 pagi, pasukan bomba mendapati kemalangan kendiri itu melibatkan sebuah Toyota Vios yang telah terjatuh ke dalam parit.

Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
Mangsa lelaki dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala mangsa wanita mengalami kecederaan di bahagian belakang.
Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa wanita sebelum membawanya ke Hospital Jantung untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi yang diketuai Paul Senum itu tidak melibatkan sebarang kerja menyelamat dan dikawal sepenuhnya pada 11.42 pagi sebelum ditamatkan pada 11.58 pagi.
Seramai lapan anggota terlibat dalam operasi tersebut dengan bantuan sebuah jentera Penyelamat dan Pemadaman Kebakaran (FRT) dan sebuah kenderaan EMRS.
Oleh Norman B