Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Mei 2026 bulan kedua terpanas dalam rekod, Eropah dilanda gelombang haba awal
  • GLOBAL

Mei 2026 bulan kedua terpanas dalam rekod, Eropah dilanda gelombang haba awal

Utusan Sarawak 6 hours ago
PERUBAHAN iklim semakin ketara, Mei 2026 antara bulan terpanas dunia. Foto AGENSI

BRUSSELS: Mei 2026 merupakan bulan Mei kedua terpanas di peringkat global sejak rekod bermula, susulan suhu luar biasa tinggi di daratan dan lautan serta gelombang haba luar biasa awal di Eropah Barat, menurut Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus (C3S) di bawah Pusat Ramalan Cuaca Julat Sederhana Eropah (ECMWF) pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Menurut kenyataan, purata suhu udara permukaan global pada Mei mencapai 15.81°C, iaitu 0.55°C lebih tinggi daripada purata bagi tempoh 1991-2020 dan hanya lebih rendah berbanding Mei 2024.

Suhu permukaan laut kekal hampir pada paras rekod tertinggi, manakala kawasan tropika di Lautan Pasifik terus menunjukkan pemanasan ketara apabila keadaan bergerak ke arah perkembangan fenomena El Nino.

Eropah mengalami perubahan mendadak daripada keadaan yang lebih sejuk daripada purata kepada cuaca panas melampau pada separuh kedua bulan itu.

Eropah Barat, termasuk Perancis, United Kingdom, Ireland dan Portugal, mencatatkan antara gelombang haba awal musim paling teruk pernah direkodkan, dengan banyak rekod suhu bulan Mei dipecahkan.

Suhu yang dirasai mencecah antara 35°C hingga 40°C di beberapa kawasan, sekali gus mewujudkan keadaan tekanan haba yang serius.

“Di Eropah, gelombang haba yang luar biasa awal dan sengit ini menunjukkan betapa cepatnya cuaca ekstrem akibat perubahan iklim menjadi norma baharu dan bukannya pengecualian,” kata Ketua Strategik Iklim ECMWF Samantha Burgess.

Walaupun sebahagian kawasan di Eropah Barat dan Selatan, termasuk Sepanyol dan Itali mengalami keadaan lebih kering daripada purata, banjir melanda Turkiye, Bulgaria dan Moldova.

Eropah Utara dan sebahagian kawasan Scandinavia merekodkan keadaan lebih basah daripada purata, berbeza dengan keadaan kering yang meluas di Eropah Tengah dan Timur. Aliran sungai di beberapa lembangan utama, termasuk Danube dan Vistula, turut berada di bawah paras purata.

Di luar Eropah, keadaan lebih basah daripada purata direkodkan di utara dan tenggara Amerika Syarikat (AS), beberapa bahagian Asia, barat China, Brazil, selatan Afrika Selatan dan Australia.

Sebaliknya, keadaan lebih kering daripada purata menjejaskan kawasan tengah AS, sebahagian besar Amerika Selatan, Madagascar dan barat daya Australia.

Luas litupan ais laut Artik pada Mei adalah kira-kira empat peratus di bawah purata, menjadikannya rekod keempat terendah bagi bulan itu.

Di Antartika, litupan ais laut sekitar sembilan peratus di bawah purata, iaitu rekod ketujuh terendah bagi Mei, khususnya di kawasan Laut Bellingshausen.- Bernama-Anadolu 

Continue Reading

Previous: Angka korban gempa bumi Filipina meningkat kepada 45, 17 masih hilang
Next: 10 pelancong maut van terjunam ke dalam gaung di Pakistan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.