
PETRA JAYA: Penyertaan peserta dari Amerika Syarikat, Thailand, Indonesia, Singapura dan Filipina dalam Festival dan Simposium Koir Antarabangsa Sarawak (SIC Fest & Sym) 2026 membuktikan Sarawak semakin dikenali sebagai destinasi seni persembahan bertaraf antarabangsa.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, festival yang akan berlangsung dari 18 hingga 21 Jun ini dijangka menghimpunkan lebih 2,000 peserta dari dalam dan luar negara.
Menurut beliau, penyertaan antarabangsa yang memberangsangkan itu menunjukkan SIC Fest & Sym semakin mendapat pengiktirafan di peringkat global walaupun baru memasuki penganjuran edisi ketiga.
“Dua peserta dari Amerika Syarikat telah mengesahkan kehadiran mereka. Selain itu, dua peserta dari Thailand, 209 dari Indonesia, 148 dari Singapura dan 32 dari Filipina turut akan mengambil bahagian dalam program ini.
“Di peringkat domestik, peserta dari pelbagai negeri termasuk Perak, Selangor, Sabah dan Sarawak juga telah mengesahkan penyertaan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media SIC Fest & Sym 2026 di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Tambah beliau, festival berkenaan bukan sahaja mengangkat nama Sarawak di pentas antarabangsa, malah turut memberi kesan positif kepada sektor pelancongan negeri.
Katanya, kebanyakan kumpulan koir turut diiringi ahli keluarga dan penyokong masing-masing, sekali gus menyumbang kepada peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan penginapan, makanan dan minuman serta kunjungan ke destinasi pelancongan tempatan.
Beliau turut menyifatkan festival tersebut sebagai platform penting dalam memperkukuh pertukaran budaya dan persahabatan antara peserta dari pelbagai negara.
Untuk rekod, sepanjang empat hari penganjuran, pelbagai persembahan dan pertandingan koir akan diadakan di beberapa lokasi sekitar Kuching termasuk Waterfront Hotel, Old Courthouse, Plaza Merdeka, The Spring, Vivacity Megamall dan Sarawak Plaza.
Festival itu akan melabuhkan tirai di Voco Hotel dengan majlis penutupan serta penyampaian anugerah yang dijadual disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Oleh Masrin Affirah