Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Salah guna visa berniaga: GPPPKMM cadang hukuman lebih tegas
  • NASIONAL
  • TEMPATAN

Salah guna visa berniaga: GPPPKMM cadang hukuman lebih tegas

Utusan Sarawak 7 hours ago
ANTARA warga asing yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur disekitar ibu kota baru-baru ini. Serbuan dibuat di tiga lokasi panas warga asing yang menjalankan perniagaan dan menahan seramai 30 individu atas pelbagai kesalahan Imigresen. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Isu penyalahgunaan visa pelawat dan pelajar oleh warga asing untuk menjalankan perniagaan di negara ini memerlukan mekanisme penguatkuasaan yang lebih holistik serta hukuman lebih berat bagi memastikan mereka tidak mengulangi kesalahan sama.

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) Datuk Zainal Abidin Abdul Majid mengesyorkan pelaksanaan undang-undang yang lebih tegas, termasuk larangan memasuki Malaysia antara lima hingga 10 tahun serta hukuman penjara terhadap pesalah.

“Kita perlu melihat mekanisme yang benar-benar berkesan untuk menghalang mereka daripada mengulangi kesalahan. Jika hanya merampas barangan, mereka boleh membawa masuk barangan lain keesokan harinya dan meneruskan aktiviti sama.

“Justeru, mekanisme yang dapat menghalang mereka daripada terus mengulangi kesalahan adalah amat penting,” katanya ketika ditemui Bernama di Wisma Mutiara, di sini, semalam.

Beliau berkata penguatkuasaan menyeluruh perlu dilaksanakan seiring dengan peruntukan undang-undang sedia ada, termasuk Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Akta 197) terhadap warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa permit.

Selain itu, beliau mencadangkan penubuhan unit khas bersepadu yang melibatkan pelbagai agensi seperti Jabatan Imigresen Malaysia dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi melaksanakan rondaan serta pemantauan secara berterusan, bukan sekadar operasi berkala.

Zainal Abidin berkata kegagalan membendung isu berkenaan boleh menjejaskan ekosistem penjaja tempatan, terutama apabila warga asing mencetuskan persaingan harga yang tidak sihat.

“Apabila berlaku perang harga, mereka mampu menawarkan harga lebih rendah kerana tidak membayar cukai, permit atau kos pekerja seperti yang ditanggung peniaga tempatan. Keadaan itu menyebabkan peniaga tempatan sukar bersaing dan akhirnya tewas dalam persaingan harga,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di sekitar kawasan Pudu, khususnya di Jalan Silang, hari ini mendapati kebanyakan premis perniagaan di kawasan berkenaan dikendalikan warga asing, termasuk gerai penjaja di tepi jalan.

Pemandu teksi, Wahab Nasir, 71, berkata kawasan sekitar Pudu Sentral kini sering digelar sebagai “Bangla Town” susulan lambakan premis yang dikendalikan warga asing.

Beliau mendakwa keadaan itu berlaku akibat segelintir pemilik premis tempatan yang menyewakan ruang niaga kepada warga asing sehingga kawasan berkenaan didominasi golongan tersebut.

“Apa yang menghairankan, walaupun kadar sewa mencecah antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan, mereka masih mampu bertahan lama meskipun hanya menjual barangan pada harga murah.

“Mereka turut mewujudkan ekosistem perniagaan sendiri apabila kedai makan, kedai runcit dan pelanggan kebanyakannya terdiri daripada komuniti mereka,” katanya yang telah memandu teksi selama 50 tahun di ibu negara.

Dalam pada itu, seorang pekerja premis perniagaan tempatan di kawasan berkenaan, Foh Loi Kian, 30, mendakwa terdapat warga asing yang menyalahgunakan lesen perniagaan milik rakyat tempatan untuk membuka gerai secara haram.

Beliau berkata kegiatan itu dipercayai berlaku sejak sekian lama dan memberi kesan kepada peniaga tempatan.

“Lambakan gerai warga asing menyebabkan jumlah pelanggan kami berkurangan kerana mereka menawarkan harga yang jauh lebih murah, sedangkan kami perlu menanggung kos operasi yang tinggi termasuk cukai perniagaan,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kebimbangan terhadap kebanjiran warga asing yang menyalahgunakan visa pelawat dan pelajar untuk menjalankan perniagaan di negara ini, termasuk dalam sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Beliau berkata keadaan itu bukan sahaja menjejaskan ekosistem perniagaan tempatan, malah dalam sesetengah keadaan turut mengurangkan peluang pekerjaan rakyat negara ini.- Bernama

Continue Reading

Previous: Sarawak perlu terus utamakan kestabilan, perpaduan dan pembangunan – Wilfred Yap
Next: Jangan hanya salahkan AirBorneo, syarikat lain turut alami isu pembatalan penerbangan – Abdul Karim

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.