
MORRISTOWN, Amerika Syarikat: Penyerang Brazil, Neymar, dilaporkan semakin pulih daripada kecederaan betis yang menimbulkan keraguan terhadap penyertaannya pada permulaan kempen Piala Dunia pasukan itu, menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Isnin.
Penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil itu menjalani imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) pada Isnin yang menunjukkan perkembangan positif dalam proses pemulihannya, sekali gus meningkatkan harapan bahawa beliau dapat diturunkan bersama skuad kendalian Carlo Ancelotti di Amerika Syarikat.
“Beliau menunjukkan perkembangan yang baik dalam proses rawatan dan akan terus mengikuti jadual pemulihan serta program kecergasan yang telah dirancang oleh pasukan perubatan Brazil,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF).
Neymar disahkan mengalami kecederaan betis pada penghujung bulan lalu dan sejak itu berusaha untuk kembali mencapai tahap kecergasan terbaik menjelang kejohanan berkenaan. Brazil akan memulakan kempen mereka menentang Maghribi di Stadium MetLife, New Jersey, pada Sabtu ini.
Beliau tidak menyertai sesi latihan di padang bersama rakan sepasukan pada Isnin di pusat latihan baharu kelab Liga Bola Sepak Utama (MLS), New York Red Bulls, yang terletak kira-kira 50 kilometer di barat Manhattan.
Sebaliknya, pemain berusia 34 tahun itu menjalani latihan pemulihan di gimnasium.
Bekas bintang Barcelona dan Paris Saint-Germain itu merupakan tonggak utama Brazil dalam tiga kempen Piala Dunia sebelum ini.
Namun begitu, penyertaannya kali ini menimbulkan sedikit tanda tanya berikutan kecederaan berulang yang menyebabkan beliau tidak dapat mewakili negaranya sejak 2023.
Neymar, yang kini beraksi bersama Santos, hanya tampil dalam separuh daripada perlawanan kelabnya dalam saingan liga, piala domestik dan Copa Sudamericana musim ini akibat pelbagai masalah kecergasan.
Ancelotti minggu lalu menegaskan bahawa Neymar dijangka bersedia sama ada untuk perlawanan pertama atau kedua Brazil dalam kejohanan itu, sambil menambah bahawa beliau tidak mahu tergesa-gesa membawa pemain berkenaan kembali beraksi. – AFP