KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) yang genap setahun menerajui kerajaan pada 1 Mac ini, terbukti telah mengambil langkah berani membantu rakyat mendapatkan sumber kewangan bagi meneruskan kelangsungan hidup dalam persekitaran serba mencabar.
Mereka yang terjejas, termasuk kehilangan kerja dan punca pendapatan susulan impak penularan pandemik Covid-19, juga mampu menarik nafas lega apabila kemudahan dalam bentuk program i-Sinar dan i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diperkenalkan bagi meringankan beban yang digalas.
Bagi mereka, tindakan sedemikian telah membuktikan sejauh mana kesungguhan kerajaan membantu golongan yang memerlukan selain turut menjadi antara pencapaian tersendiri PN.
Kemudahan pengeluaran i-Lestari yang diperkenalkan pada 3 Mac, 2020 — beberapa hari selepas pembentukan kerajaan PN, membabitkan inisiatif pengeluaran sebanyak RM500 yang dimulakan pada 1 April, 2020 selama 12 bulan yang keseluruhannya berjumlah RM30 bilion.
i-Sinar pula merupakan lanjutan daripada kemudahan pengeluaran i-Lestari dengan kelulusan syaratnya turut dipermudah baru-baru ini dengan mengambil kira sentimen rakyat.
Laporan menyatakan dianggarkan kira-kira RM18.5 bilion telah dikeluarkan di bawah kemudahan i-Sinar sejak permohonannya dibuka pada Disember 2020 yang memberi manfaat kepada 3.3 juta ahlinya.
Apa yang pasti, bagi kebanyakan penerima kemudahan itu, wang tersebut turut menyuntik harapan serta peluang untuk mereka kembali bangkit menjana pendapatan, termasuk memulakan perniagaan selepas mengalami kesukaran akibat kesan Covid-19.
“Keuntungan perniagaan yang diraih mungkin kecil, namun apa lebih penting adalah dapat memastikan masih mampu menyediakan makanan untuk dikongsi bersama keluarga,” demikian luahan Azuar Fahmi Mohd Ali, 30, kepada Bernama, baru-baru ini.
Bekas wartawan Utusan Malaysia itu mengakui kesukaran mendapat kerja ketika pandemik itu bermula yang memaksa beliau meninjau alternatif lain, termasuk menjual gajet demi menyara keluarga.
“Sebelum pandemik ini, saya sepatutnya menjalani beberapa temu duga kerja namun peluang itu hilang apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Oleh itu, saya menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual gajet dan Alhamdulillah ia dapat memberi sedikit pendapatan sementara mendapat kerja tetap,” katanya.
Pada masa sama, Azuar Fahmi juga perlu melunaskan hutang bagi membolehkan bebanan kewangannya dapat dikurangkan sekiranya pandemik itu terus berlanjutan.
“Oleh itu, bagi saya, kerajaan PN telah mengambil tindakan pantas dan wajar dengan melaksanakan inisiatif i-Sinar dan i-Lestari kerana kita sendiri tidak pasti sejauh mana pandemik ini akan terus berlaku.
“Kes harian Covid-19 juga masih tinggi. Selain membuat pengeluaran (caruman), saya juga perlu mengekalkan simpanan KWSP (demi masa depan),” katanya yang kini berkhidmat sebagai wartawan di sebuah portal kewangan. – Bernama