
LONDON: Gempa bumi bermagnitud 5.2 melanda pulau Euboea atau Evia di Greece, mencetuskan kejadian tanah runtuh, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan hari ini.
Gegaran pertama dengan magnitud 4.8 berlaku pada 12.58 tengah hari waktu tempatan (10.58 GMT), kira-kira enam kilometer ke selatan kawasan Prokopi di tengah Evia pada kedalaman lima kilometer, lapor penyiar awam ERT yang memetik pihak berkuasa.
Gempa bumi kedua yang lebih kuat bermagnitud 5.2 pula direkodkan pada 1.02 tengah hari (11.02 GMT), dengan gegaran dirasai secara meluas di seluruh pulau itu serta sejauh ibu negara, Athens.
Gempa bumi itu turut menyebabkan berlakunya tanah runtuh di sepanjang jalan berhampiran bandar Mantoudi.
Menurut laporan, gempa berkenaan menyebabkan kerosakan pada beberapa bangunan kediaman, manakala dinding sebuah bangunan runtuh sepenuhnya. – Bernama