
BINTANGOR: Program Ngabang Gawai Dayak 2026 menjadi wadah penting untuk mengenal pasti keperluan pembangunan masyarakat luar bandar melalui interaksi secara langsung antara pemimpin dan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing bersama isterinya, Datin Kueh Nai Fun telah menghadiri program tersebut di beberapa rumah panjang di kawasan Ulu Bakong, Kutak dan Sungai Pidi pada semalam.
Di Rumah Murieng, Ulu Bakong, Kutak, program diserikan dengan upacara miring dan ‘Ngiling Tikai’ yang menjadi simbolik penutupan sambutan Hari Gawai Dayak di rumah panjang itu.
Upacara adat ini mencerminkan penghormatan masyarakat Iban terhadap warisan budaya dan adat resam yang diwarisi turun-temurun dan terus dipelihara oleh generasi masa kini.
Beliau turut mengadakan kunjungan Ngabang Gawai ke beberapa rumah panjang di kawasan Sungai Pidi bagi bertemu dan beramah mesra dengan penduduk setempat.
Dalam kunjungan tersebut, beliau berpeluang mendengar sendiri pelbagai permohonan, cadangan serta keperluan yang disampaikan oleh para tuai rumah dan penduduk rumah panjang.
“Setiap permohonan yang dikemukakan akan diberi perhatian sewajarnya dan kerajaan Sarawak akan terus berusaha memastikan pembangunan serta kemudahan asas di kawasan luar bandar sentiasa dipertingkatkan demi kesejahteraan rakyat.
“Program ini memainkan peranan penting dalam membantu saya memahami situasi sebenar yang dihadapi masyarakat.
“Ia memudahkan perancangan pembangunan yang lebih berkesan dan bersesuaian dengan keperluan setempat,” katanya kepada media.
Katanya, sambutan yang diberikan oleh penduduk rumah panjang sepanjang program tersebut turut membuktikan semangat perpaduan, muafakat dan keharmonian yang terus menjadi tunjang kekuatan masyarakat di kawasan Meradong.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai yang akan kembali ke destinasi pekerjaan masing-masing selepas sambutan Hari Gawai Dayak agar sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya.
“Keselamatan diri dan keluarga harus menjadi keutamaan agar semua dapat tiba di destinasi dengan selamat.
“Semoga perjalanan semua yang kembali bertugas dipermudahkan serta sentiasa berada dalam keadaan selamat, sihat dan sejahtera,” katanya.
Oleh Earl Anek