
SIMANGGANG: Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie menegaskan komitmennya untuk terus memperkasakan pembangunan luar bandar menerusi pelaksanaan projek yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Beliau berkata, kemudahan awam yang selesa dan berkualiti memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesejahteraan penduduk serta menyokong pelbagai aktiviti kemasyarakatan di kawasan luar bandar.

Menurutnya, projek pembinaan atap sambungan Dewan Masyarakat Tapang Lebat yang telah siap dilaksanakan merupakan antara inisiatif yang bertujuan memenuhi keperluan komuniti setempat.
“Projek bernilai RM80,000 ini dilaksanakan bagi meningkatkan kemudahan dan keselesaan penduduk, selain menyediakan ruang yang lebih kondusif untuk pelbagai program sosial dan kemasyarakatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Tapang Lebat bagi meninjau sendiri hasil pelaksanaan projek berkenaan yang kini memberi manfaat kepada penduduk sekitar.
Dalam kesempatan yang sama, Doris bersama rombongan turut mengadakan kunjungan sempena sambutan Hari Gawai Dayak ke Rumah Bana sebagai tanda penghargaan dan sokongan terhadap tradisi serta budaya masyarakat setempat.
Kunjungan tersebut memberi peluang kepada beliau untuk beramah mesra dengan Tuai Rumah Bana, ahli keluarga serta para tetamu yang hadir dalam suasana penuh mesra dan harmoni.
Menurut Doris, sambutan perayaan seperti Hari Gawai bukan sahaja memperlihatkan kekayaan warisan budaya masyarakat Dayak, malah menjadi platform penting untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.
Beliau turut menzahirkan harapan agar semangat muafakat, kerjasama dan keharmonian yang terjalin dalam komuniti terus diperkukuhkan demi kesejahteraan serta kemajuan bersama.
Doris menegaskan bahawa usaha membangunkan kemudahan awam dan mempererat hubungan dengan masyarakat akan terus menjadi keutamaan dalam memastikan pembangunan yang inklusif dan mampan di kawasan Parlimen Sri Aman.
Oleh Adi Safarman