
MIRI: Seorang lelaki yang dipercayai mencuri motosikal menerima padah apabila diberkas polis ketika sedang menunggang kenderaan yang dilaporkan hilang itu di Jalan Hokkien di sini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira 6.50 petang itu, suspek tempatan berusia 29 tahun ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) hasil risikan dan siasatan berhubung kes kehilangan motosikal yang dilaporkan awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 19 tahun pada 1 Jun lalu berhubung kehilangan motosikal miliknya yang diletakkan di kawasan parkir awam di Pusat Komersial Waterfront.
“Mangsa meletakkan motosikalnya kira-kira 1.00 pagi pada 31 Mei sebelum mendapati kenderaan itu hilang dua jam kemudian.
“Susulan laporan diterima, polis menjalankan siasatan dan risikan sehingga berjaya mengesan suspek yang sedang menunggang motosikal milik pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut ke atas suspek turut menemukan satu unit taji ayam yang disimpan di dalam poket seluarnya dan barangan itu dirampas untuk siasatan.
Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau selain merupakan penagih tegar dadah jenis syabu dan tidak bekerja.
“Suspek direman selama empat hari sehingga 10 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya memastikan kenderaan sentiasa berkunci dan memasang kunci tambahan bagi mengelakkan kejadian kecurian.
Oleh Liong Chai Ling