
BATU NIAH: Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan (JKKSK) Perkara 15A Peringkat Negeri Sarawak terus memainkan peranan penting dalam membantu menyelesaikan isu pendaftaran sijil lahir dan taraf kewarganegaraan melibatkan kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah di negeri ini.
Selepas memperoleh kelulusan sijil kelahiran dan taraf kewarganegaraan, pemohon perlu melalui proses seterusnya bagi mendapatkan status kerakyatan Sarawak dengan kod negeri “K”, yang membolehkan mereka menikmati hak serta keistimewaan sebagai rakyat Sarawak.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus berkata demikian di Rumah Terbuka Gawai Dayak 2026 di Rumah Andrew Abak di sini hari ini.
Menurut beliau, jawatankuasa tersebut ditubuhkan bagi memudah cara proses permohonan, selain menyemak dan memberikan sokongan terhadap setiap permohonan sebelum dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk pertimbangan serta kelulusan akhir.
“Melalui mekanisme yang dilaksanakan, JKKSK bertanggungjawab meneliti dan menapis dokumen pemohon bagi memastikan setiap permohonan memenuhi syarat yang ditetapkan, sekali gus mengurangkan risiko penolakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).


“Permohonan yang diproses di bawah jawatankuasa ini melibatkan beberapa kategori, termasuk anak tidak sah taraf, anak jagaan serta anak angkat yang menghadapi masalah dokumentasi dan status kewarganegaraan,” katanya.
Rosey yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu menambah, permohonan di bawah JKKSK hanya terbuka kepada kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah selaras dengan takrifan kanak-kanak yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Orang ramai turut diingatkan supaya memastikan semua dokumen dan bukti sokongan dikemukakan dengan lengkap kerana kegagalan berbuat demikian merupakan antara punca utama permohonan ditolak.
“Bagi mengelakkan sebarang kesulitan, pemohon disarankan merujuk tatacara pendaftaran kelahiran baharu atau pendaftaran lewat yang disediakan menerusi portal rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak,” jelasnya.
JKKSK dipengerusikan bersama oleh Kerajaan Negeri Sarawak melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) serta Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memastikan hak setiap kanak-kanak untuk memiliki identiti serta status kewarganegaraan yang sah dapat dipelihara dan dilindungi.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Sibuti Dato Lukanisman Awang Sauni, Tr. Andrew Abak, Penghulu Epat Bakar, Penghulu Micheal Balo, Penghulu Pui Kuan Phen dan ketua masyarakat setempat.
Oleh Adum Liu