Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Pusat penempatan TVET GITC dilancar
  • NASIONAL

Pusat penempatan TVET GITC dilancar

Utusan Sarawak 5 hours ago
TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Foto hiasan.

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini melancarkan Pusat Penempatan TVET GITC (GTPC), satu platform penempatan bakat bersepadu nasional yang pertama di negara ini, yang bermatlamat merapatkan jurang antara industri dan tenaga kerja mahir.

Platform berkenaan yang dilancarkan sempena Hari TVET Negara 2026 berperanan sebagai ekosistem berstruktur yang menghubungkan pelajar, graduan, institusi serta industri bagi memudahkan penempatan latihan industri, program perantisan serta peluang pekerjaan.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh TVET sebagai laluan utama kepada pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan, mobiliti sosial dan daya saing ekonomi negara.

“TVET bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya laluan utama kepada pekerjaan berkualiti, pendapatan yang lebih baik, mobiliti sosial dan daya saing ekonomi negara,” katanya berucap pada majlis pelancaran itu di sini hari ini.

Beliau berkata Hari TVET Negara kini menjadi lambang peranan utama TVET dalam agenda pembangunan Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat beberapa cabaran struktur yang masih perlu ditangani termasuk ketidakpadanan program latihan dengan keperluan teknologi semasa industri, persepsi gaji rendah yang mengekang minat terhadap kerjaya TVET serta jurang dalam kualiti tenaga pengajar dan kemudahan latihan yang menjejaskan kebolehpasaran graduan.

Timbalan Perdana Menteri berkata pelancaran TVET 2.0 hari ini menandakan fasa baharu dalam usaha memperkukuh ekosistem TVET negara agar lebih responsif dan selaras dengan keperluan industri.

Sebagai sebahagian daripada transformasi, beliau menggesa pihak pemain industri supaya memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan bakat dengan bertindak sebagai rakan pelabur melalui penyediaan peluang latihan, kemudahan, bimbingan serta laluan pekerjaan.

“Pelaburan dalam TVET bukan satu kos. Ia adalah pelaburan dalam produktiviti, daya saing serta masa depan negara kita,” katanya.

Menerusi GTPC, Ahmad Zahid berkata, pemain industi boleh mendaftarkan keperluan bakat dan menawarkan penempatan latihan industri, perantisan serta pekerjaan, manakala pelajar dan siswazah boleh membina profil profesional, mempamerkan kemahiran mereka dan memperoleh peluang pekerjaan.

Platform berkenaan juga, katanya membolehkan institusi pendidikan memantau perkembangan pelajar dengan lebih efektif serta memperkukuh kerjasama dengan pihak industri.

Beliau berkata, inisiatif seumpama itu akan menyokong amalan pengambilan pekerja berasaskan kemahiran dengan memberi penekanan kepada kompetensi, keupayaan praktikal dan pembelajaran sepanjang hayat, bukannya kelayakan akademik semata-mata.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut menekankan peranan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri (GITC) sebagai jambatan strategik yang menghubungkan agensi kerajaan, pihak industri serta institusi pendidikan bagi memastikan penawaran bakat selaras dengan keperluan tenaga kerja.

Beliau turut menggesa GITC supaya tidak sekadar berperanan sebagai badan penyelaras, tetapi juga pemangkin perubahan sistemik khususnya dalam sektor pertumbuhan tinggi seperti aeroangkasa, semikonduktor, kecerdasan buatan, kenderaan elektrik, tenaga boleh baharu, keselamatan siber dan robotik. – Bernama 

Continue Reading

Previous: Kerajaan perluas sumber bahan api global susulan konflik Asia Barat – KP MKN
Next: AGC perlu masa teliti kertas siasatan libatkan Azam Baki – Peguam Negara

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.