Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Sekolah menengah persendirian Cina perlu berani laksana transformasi hadapi penurunan enrolmen
  • PENDIDIKAN

Sekolah menengah persendirian Cina perlu berani laksana transformasi hadapi penurunan enrolmen

Utusan Sarawak 5 hours ago
UNTUK KENANGAN….Lau (duduk, tengah) merakam kenangan sebelum mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan 2026 dan Pemilihan Jawatankuasa Penggal Ke-20 (2026-2027) Lembaga Pengurusan Gabungan Persatuan Sekolah-sekolah Menengah Persendirian Cina Sarawak di Wisma Huawen Du Zhong, hari ini.

SIBU: Sekolah menengah persendirian Cina di Sarawak perlu berani melakukan transformasi dan memperluaskan sumber pengambilan pelajar bagi memastikan kelangsungan serta daya saing institusi pendidikan itu pada masa hadapan.

Pengerusi Lembaga Pengurusan Gabungan Persatuan Sekolah-sekolah Menengah Persendirian Cina Sarawak, Temenggung Dato Vincent Lau Lee Ming berkata, pergantungan kepada pelajar Cina semata-mata bukan lagi pendekatan yang realistik memandangkan populasi masyarakat Cina terus menunjukkan trend penurunan.

Menurutnya, sekitar 38 peratus murid di sekolah rendah Cina di Sarawak kini terdiri daripada pelajar bumiputera bukan Cina, sekali gus membuka ruang kepada sekolah menengah persendirian Cina untuk memperluaskan sasaran pengambilan pelajar.

“Jika kita masih bergantung kepada pelajar Cina sebagai sumber utama, penyusutan enrolmen hampir pasti akan berterusan.

“Oleh itu, usaha lebih sistematik perlu dilaksanakan untuk menarik pelajar bukan Cina, memperkukuh program bahasa Cina sebagai bahasa kedua serta mempertimbangkan pengambilan pelajar antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan 2026 dan Pemilihan Jawatankuasa Penggal Ke-20 (2026-2027) Lembaga Pengurusan Gabungan Persatuan Sekolah-sekolah Menengah Persendirian Cina Sarawak di Wisma Huawen Du Zhong, di sini hari ini.

Lau berkata, data terkini menunjukkan jumlah pelajar Tingkatan Satu baharu di 14 sekolah menengah persendirian Cina di Sarawak menurun kepada 913 orang tahun ini berbanding tahun lalu.

“Pada masa sama, jumlah keseluruhan pelajar di sekolah-sekolah berkenaan turut merosot kepada 6,389 orang,” ujarnya.

Katanya, penurunan berterusan bilangan pelajar sejak beberapa tahun kebelakangan ini memberi tekanan kepada usaha pembangunan sekolah dan menimbulkan kebimbangan terhadap kelestarian institusi pendidikan tersebut.

Selain cabaran enrolmen, katanya lagi, aspek kewangan turut menjadi isu yang perlu diberi perhatian serius.

“Walaupun kerajaan Sarawak dan kerajaan Persekutuan telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan, banyak sekolah masih berdepan kekangan kewangan akibat kadar yuran yang rendah serta peningkatan kos operasi disebabkan inflasi,” jelasnya.

Lau berkata, kebanyakan sekolah masih berhati-hati untuk menyemak semula kadar yuran kerana bimbang kehilangan pelajar, sekali gus mengehadkan kemampuan meningkatkan gaji dan kebajikan guru.

Beliau menegaskan sekolah menengah persendirian Cina perlu dilihat sebagai penyedia pendidikan berkualiti dan bukan sekadar institusi pendidikan bahasa ibunda.

Katanya, sekolah perlu terus memperkukuh mutu pendidikan serta kelebihan masing-masing bagi memenuhi kehendak ibu bapa yang kini lebih menitikberatkan nilai pendidikan dan peluang masa depan yang ditawarkan.

Menyentuh isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), Lau berpendapat langkah membenarkan lepasan UEC memohon empat program pengajian bahasa Cina di universiti awam selepas lulus peperiksaan Bahasa Melayu dan Sejarah bukan SPM masih belum memenuhi aspirasi masyarakat Cina.

“Langkah ini tidak menyelesaikan isu pokok berkaitan pengiktirafan UEC dan belum mewujudkan laluan kemasukan yang adil serta menyeluruh ke universiti awam,” katanya.

Beliau berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan pengiktirafan UEC secara lebih menyeluruh berdasarkan nilai akademik dan sumbangannya kepada pembangunan pendidikan negara.

Oleh Akun Giman

Continue Reading

Previous: Lau kekal terajui Gabungan Sekolah Menengah Persendirian Cina Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.