
KUCHING: Kerjaya sebagai penjaga (caregiver) tidak seharusnya dipandang rendah kerana sektor penjagaan kini muncul sebagai antara bidang perkhidmatan yang mempunyai potensi tinggi dan semakin diperlukan di negara ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, persepsi masyarakat bahawa pekerjaan sebagai penjaga tidak mempunyai masa depan perlu diubah memandangkan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran dalam sektor tersebut terus meningkat.
Menurut beliau, perkembangan populasi warga emas di Malaysia turut menyumbang kepada peningkatan keperluan terhadap perkhidmatan penjagaan yang profesional dan berkualiti.
“Jangan kita fikir bila kita menjadi penjaga, itu satu pekerjaan yang tidak begitu berpotensi. Sebenarnya, inilah satu perkhidmatan yang berpotensi tinggi pada masa ini. Ramai yang mencarinya.
“Ramai institusi penjagaan swasta mencari individu yang berminat dalam bidang ini dan meminta kita turun ke kampung-kampung untuk mendapatkan pelajar lepasan Tingkatan Lima menyertai sektor berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Institut Sosial Malaysia(ISM) Bersama Komuniti di Dewan Masyarakat Kampung Telaga Air, di sini, hari ini.
Nancy berkata, walaupun ramai belia khususnya di luar bandar memilih untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, peluang dalam sektor penjagaan juga wajar diberikan perhatian kerana menawarkan prospek kerjaya yang semakin berkembang.
Katanya, bagi memenuhi keperluan tersebut, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Institut Sosial Malaysia (ISM) terus melaksanakan latihan penjagaan secara nasional bagi meningkatkan kemahiran asas penjaga serta mempromosikan pendekatan penuaan sihat.
Menurut beliau, program latihan berkenaan telah bermula sejak 2023 dengan sasaran awal sekitar 400 hingga 450 peserta sebelum meningkat kepada lebih 1,000 peserta pada tahun berikutnya.

“Tahun ini kita mensasarkan 2,000 orang untuk mengikuti latihan tersebut kerana kita memerlukan lebih ramai penjaga yang berkemahiran bagi menjaga warga emas, orang kurang upaya serta individu yang memerlukan penjagaan khas.
“Kita mahu melahirkan penjaga yang profesional dan bertauliah supaya mereka mampu memberikan perkhidmatan penjagaan yang lebih berkesan dari aspek fizikal dan mental,” katanya.
Beliau berkata, sektor penjagaan tidak lagi boleh dianggap sebagai tanggungjawab keluarga semata-mata, sebaliknya perlu dilihat sebagai satu bidang perkhidmatan penting yang menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara.
Tambahnya, kerajaan juga sedang memperkukuh pembangunan ekonomi penjagaan melalui pelaksanaan Kerangka Strategik Malaysia Care 2026-2030 yang telah dilancarkan pada November tahun lalu sempena persidangan ASEAN mengenai Penerokaan Baharu dalam Ekonomi Penjagaan.
Nancy berkata, kerangka strategik itu mengandungi lima teras utama yang bertujuan memperkasakan sektor penjagaan serta memastikan negara bersedia menghadapi cabaran masyarakat menua pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau berkata program ISM@Komuniti yang dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) turut berperanan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penuaan sihat serta kepentingan penjagaan dalam komuniti.
Katanya, pendekatan turun padang seperti itu penting bagi memperkenalkan peluang kerjaya dalam sektor penjagaan kepada masyarakat selain membantu melahirkan lebih ramai individu yang berminat dan berkemahiran dalam bidang tersebut.
Oleh Shahrul Qaizat