
SIBU: Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang mengingatkan golongan belia yang menerima bantuan lesen motosikal Kelas B2 agar tidak terlibat dalam aktiviti mat rempit dan lumba haram.
Beliau berkata, lesen memandu yang diterima bukan sekadar dokumen untuk menunggang motosikal, sebaliknya merupakan simbol kepercayaan yang diberikan kerajaan kepada pemegang lesen untuk mematuhi undang-undang dan mengamalkan budaya pemanduan berhemah.
“Apabila anda menerima lesen memandu, itu bukan bermakna anda bebas memandu sesuka hati. Lesen itu sebenarnya adalah simbol kepercayaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 anjuran DUN Pelawan di Dewan SMK Sacred Heart hari ini.
Menurut Tiang, seramai 500 peserta berjaya memperoleh lesen motosikal menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas melepasi proses tapisan, latihan dan ujian yang ditetapkan.
Beliau berkata, program tersebut merupakan antara inisiatif kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah, khususnya kumpulan B40, mendapatkan lesen memandu yang sah sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan isi rumah.
Dalam pada itu, Tiang turut membangkitkan kebimbangan terhadap gejala samseng jalanan yang masih berlaku di Sibu. Katanya, berdasarkan maklumat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 59 operasi khas dijalankan sepanjang tahun lalu bagi membanteras aktiviti lumba haram di Bahagian Sibu.
“Hasil operasi tersebut menyaksikan 21 individu didakwa mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala 240 motosikal disita dan 1,607 saman dikeluarkan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua penerima bantuan lesen menggunakan kemudahan yang diperoleh untuk tujuan yang bermanfaat seperti bekerja, mencari rezeki dan membantu keluarga, bukannya terlibat dalam aktiviti yang melanggar undang-undang.
“Gunakanlah lesen ini untuk tujuan yang membawa kebaikan. Gunakan ia untuk membawa ibu atau ayah ke hospital apabila mereka perlukan rawatan, pergi bekerja dan mencari rezeki yang halal,” katanya.
Oleh Tarani Lanting