
Foto: REUTERS
NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 21 maut dalam insiden kebakaran di sebuah hotel di ibu negara India, New Delhi, kata pegawai hari ini, lapor Anadolu Ajansi.
Kejadian berlaku di Malviya Nagar kira-kira 8.50 pagi waktu tempatan (0320GMT).
Kenyataan Polis Delhi mengesahkan jumlah kematian, sambil menambah lebih 40 individu telah diselamatkan dan dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan.
Pegawai juga berkata kebakaran melibatkan bangunan bertingkat dan api berjaya dikawal.
Ketua Menteri Delhi Rekha Gupta berkata menerusi media sosial X, agensi tindak balas kecemasan telah digerakkan dengan operasi menyelamat dan bantuan sedang dijalankan.
Beliau berkata kerajaan memantau teliti situasi itu.Perdana Menteri Narendra Modi menyifatkan insiden itu sebagai “tragis”.
“Takziah saya kepada mereka yang kehilangan orang tersayang mereka. Semoga mereka yang cedera cepat sembuh. Pihak berkuasa menyediakan semua bantuan yang mungkin kepada mereka yang terjejas,” tambah beliau.
Punca kebakaran belum dikenal pasti, lapor Press Trust of India. – Bernama