Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • wbs
  • Kasihnya Ayah, Sanggupkah Berpisah?
  • wbs

Kasihnya Ayah, Sanggupkah Berpisah?

Utusan Sarawak 5 hours ago

‘‘Jika anda sakit, anda masih hidup. Jika anda merasakan kesakitan orang lain, anda seorang manusia.’’ – Leo Tolstoy.

NASKHAH yang mengangkat subjek kematian kelazimannya menjadikan sesebuah naskhah beralun dengan nilai sentimental. Kata-kata menajam. Kisah berlalu di bawah naungan langit mendung. Penceritaan dilihat lebih bening dan jujur, kerana yang menggerakkan naratif – datang terus dari dalam diri. Jika menganggap bahawa menulis tentang hal kematian suatu yang mudah, ia satu kesilapan. Mengapa? Menulis tentang orang-orang hidup di sekeliling lebih menyakitkan, sedangkan membangkitkan semula cerita mengenai individu yang dahulunya rapat dengan pengarang, bertambah kali ganda peritnya.

            Demikian juga, ada beberapa pengarang gemar mematikan watak pada penghujung kisah agar dirasakan impak dan kejutan ke atas sesebuah naskhah. Ketara, ia seakan-akan disengajakan sebagai usaha pengarang meninggalkan hentakan emosi kepada pembaca. Misalnya dalam kes karya-karya Azizi Haji Abdullah. Namun dalam novela By Night in Chile, Roberto Bolano, sebagaimana dimaklumkan audiens antarabangsa, menjelmakan diri dan wataknya dalam naskhah tersebut melalui watak/narator yang sedang mengalami situasi kritikal – nazak. Ia sebuah karya satira yang membincangkan hal-hal sahsiah, kritikan sastera dan reformasi kesenian dari sudut pandangan pencerita.

            Sedangkan dalam naskhah yang difokuskan pada kali ini, ia membawa nuansa yang agak khas, peribadi dan mengilukan jiwa. Ia bagaikan suatu tugasan penting, segera dan mendesak daripada pengarang yang berasakan ada beban dalaman untuk dilunaskan. Cengkaman rasa bersalah, terkilan dan kesalan – membelenggu emosi pencerita. Mahu tidak mahu, lingkaran berserabut itu dilampiaskan ke dalam sebuah penulisan yang meruntun jiwa. Sama ada pengarang ingin membela dan mengenang kehebatan dan budi pekerti ayahnya – ia soal lain. Namun, dalam masa yang sama, naskhah itu juga menyerlahkan sisi keruh kehidupan masyarakat. Meskipun tidak disampaikan secara terang, sekurang-kurang tempias kiasan kritikannya difahami – terutama sikap dan tingkah laku manusia. 

            Dan, di sinilah sastera menyediakan seluas-luasnya wadah untuk menampung segala kerumitan jiwa, gelodak pemikiran dan gangguan psikologi daripada pengkarya. Benar, karya sastera yang cemerlang itu sentiasa menampilkan gagasan pemikiran, idealisme, amanat besar dan serius wacananya. Indah bahasa, puitis rimanya dan segala-gala keburukan disapu gula.

Namun, sebuah karya yang hebat akan dilihat kosong jika tandus dengan pengisian jiwa dan perasaan yang sesuai dengan subjek penceritaan. Estetikanya tandus. Disebabkan itulah, karya sastera sepatutnya seimbang dan jernih penyampaian subjek penulisannya. Pada aspek ini, saya memuji naratif yang disampaikan oleh pengarang naskhah. Sungguh kemas, teratur bahasanya dan tetap menyelitkan komponen sastera dengan baik.

            Lima hari, lima hari terasa begitu lama, buat narator bergelut dengan emosi untuk meluahkan segala tekanan batin dan bagasi terkilannya, setelah ayah yang cukup dikagumi telah pun kembali kepada Pencipta. Menunggu lima hari berlalu terasa seperti menahan diri di bawah tindihan bongkah batu. Kehilangan ayahnya menyentak dunia narator. Puncak cita-cita yang didaki baru mencecah separuh kejayaan. Pelita terpadam. Jalan seperti tersumbat. Diri bagai tersedut ke dalam lubang. Insan yang menjadi tulang belakang tiada lagi untuk menyalakan motivasi. Penyangga spiritual kepada moral dan perasaan akhirnya rontok dan sudah tiba waktu akur kepada kudrat. Dunia merenggang, terbelah dua alam yang terpisah.

            Ayahnya yang bersikap positif, mencintai ilmu dan manusiawi, dan tidak terliur memandang laba dunia, rupanya sedang diam-diam bertempur dengan penyakit. Bukan luka, bisul atau lebam. Tetapi rangkaian penyakit dalaman yang tidak mudah dizahirkan secara zahiriah di hadapan anak dan seisi keluarga. Perwira yang berjuang di garisan depan, dengan segala kesan calar dalam tubuh, namun pulang ke rumah dengan lagak biasa. Mengenangkan peluang dan kesempatan dikecapi oleh narator, menimba ilmu dan memperolehi status kedudukan, betapa luar biasanya jiwa lelaki dipanggil ayah itu mengendalikan hidup. Hero yang tdak didendang, bekerja tanpa mengeluh kepenatan demi membesarkan anak-anak untuk menjadi manusia yang bermaruah. Biar tiada duit di mata orang, jangan tiada maruah sebagai seorang manusia. Biar kerja yang menunjukkan hasil, bukan sebaliknya.

            Naskhah tulisan Sheril Aida binti Sulainan ini tidak akan terwujud tanpa desakan dari dalaman. Tentu, subjek yang ingin diangkat memanggil-manggil minta dituliskan. Aliran bahasanya kemas, kristal, bagai kain diseterika tanpa sebarang kedutan. Sungguhpun sukar untuk membayangkan kecamuk jiwa dan gangguan psikologi yang dipikulnya sebagai anak kesayangan, pengarang memastikan naratifnya jelas. Bahagian itu mustahak. Tonggak kepada naskhah. Setulus rasa kasihnya buat seorang ayah. Kini insan yang disanjung itu tiada lagi di samping. Bagaikan tali terlepas daripada cengkaman. Narator dan fikirannya melayang jauh. Hukum dunia sudah tertulis begitu. Tiada yang kekal selama-lamanya. Narator harus menguatkan diri, dan reda. Sebagaimana kuatnya jiwa insan dipanggil ayah itu.

            Lupakan amanat dan pesan moral, naskhah itu lebih menumpukan fokus kepada lelaki yang amat disanjungnya. Naskhah itu bercerita tentang ayah. Bukan semata-mata ayah kepada pengarang naskhah. Tetapi ayah kepada kita semua. Bukan ahli politik, kekasih, selebriti atau artis luar negara. Namun seorang insan yang hidup sederhana, jauh dari desas-desus murahan tetapi besar hati nuraninya. Pokok semalu yang merendah diri. Nama dan sifat ayah narator bergemerlapan buat mereka yang senang dengan keperibadiannya. Pada hari kematiannya, beberapa pengunjung dari kalangan bukan Islam turut hadir memberikan penghormatan. Mereka terpana dan terharu. Gelaran Tok Nan sudah cukup mengisyaratkan kebesaran hati dan karakter ayah narator. Wangi namanya disebut-sebut orang.

            Ketara, ia sebuah pengakuan daripada anak – yang – menurut kata narator sendiri, amat disenangi, kepada ayahnya. Pengakuan ini suatu testimonial yang membawa erti tersendiri kepada narator. Istimewa. Kesayangan. Terutama. Dan, pada masa yang sama menjadikan perpisahan itu tambah memeritkan. Namun. ia juga sebuah pernyataan kekesalan kerana gagal hadir menatap wajah ayahnya, sebelum insan dihormati itu menghembuskan nafas terakhir di hospital akibat komplikasi penyakit dalaman. Tiada istilah mati mengejut dalam agama Islam. Tiada siapa yang tahu bilakah kali terakhir roh manusia berpisah dari jasad. Tetapi bagi narator, dia sepatutnya lebih mendahulukan ayahnya berbanding menguruskan hal-hal lain.

            Konflik dalaman baru sahaja bermula dari sini. Bagai mengupas lapisan bawang. Pada waktu dan masa yang dijanjikan – akhirnya yang tidak terlihat, ditunjukkan. Narator baru sahaja dimaklumkan tentang keseriusan penyakit yang ditanggung ayahnya. Ia hanya penyebabnya sahaja. Kemudian, barulah narator perlahan-lahan mengerti mengapa ayahnya terpaksa menyembunyikan penyakit sendiri. Pelbagai persoalan mengerumuni fikiran. Adakah ia sebuah keegoan seorang lelaki? Mengapa seorang lelaki harus menutup mulutnya sedangkan isi jiwanya kian dilumat? Terseksa di balik wajah tenang. Tidak begitu. Tidak semuanya perlu diekspresikan melalui kata-kata. Dari sudut fikiran seseorang ayah, biar tubuhnya hancur sedikit demi sedikit, asal anak-anak dan keluarga hidup dengan bahagia.

            Alangkah ayahnya harus melindungi penderitaan sendiri demi keluarga. Bagai gunung yang teguh dan tegap dilihat dari jarak jauh. Bagai benang yang menyulam busana indah. Jarang meminta perhatian. Merintih dan mengemis. Rupa-rupanya sedang dikikis kerosakan dari dalam. Organ-organ dalaman tubuhnya sudah tidak berdaya untuk menampung tenaga seorang lelaki unggul itu. Dari makluman yang disampaikan oleh doktor, punca ayahnya meninggal dunia terasa begitu menyakitkan. Segala beban dunia berhimpun di atas bahu lelaki dipanggil ayah itu. Pada peringkat kritikal, ayahnya sukar untuk diselamatkan lagi. Lemah dan tidak berdaya – itulah makhluk. Jantung seperti terlucut. Dan tangisan yang meletus dari narator tidak mampu diungkap melalui bahasa. Pecah berderai. Mengapa ayahnya tidak memaklumkan hal seumpama itu kepada anak-anak sendiri?

            Tiada apa yang perlu disesalkan. Sudah masanya beristirehat. Ayah narator telah menunaikan tanggungjawab dan amanah sebagai seorang ketua keluarga. Tahu yang mana lebih dipentingkan. Tidak sesekali membiarkan meja di dapur kosong tanpa segenggam makanan. Manakala si anak perempuan, harus meneruskan misi akademik sebagaimana yang menjadi sasaran –  sebagai bukti minatnya melanjutkan pelajaran tidak sia-sia. Itulah sahaja caranya buat narator membalas segala usaha dan harapan ayahnya. Hidup mesti diteruskan kerana dunia tetap terus berputar. Kesedihan itu normal, namun jika terus berpaut lama di situ, ia tentu melemahkan semangat dan fizikal. Demikian nasihat dan kata-kata dorongan dari ayahnya dijadikan azimat. Tidak ada maknanya menjadi manusia terpelajar yang rosak akhlaknya. Dan ayahnya mempraktikkan semasa hidup, pengiktirafan manusia bukan segala-galanya. Tidak semua yang bertepuk tangan itu ikhlas.

            Siapa menjangka lelaki yang dilihat beriltizam tinggi, tampak energetik dan awet muda, sentiasa memberi motivasi kepada sesiapa pun juga – rupanya berhadapan dengan fasa terakhir kehidupan. Seorang guru dan lelaki budiman. Siap sedia menyingsing lengan turun ke lapangan. Tidak berkira dengan apa-apa dan sesiapa. Tulus berdedikasi. Bukan sebaliknya duduk menyandar di sofa dalam pejabat dan kononnya “terpaling” rajin. Tidak peduli dikhianati rakan sekerja dan tidak berharapkan pangkat dan sanjungan. Tidak semuanya terjebak dengan permainan duniawi. Bekerja kerana ia ibadah. Bukan perlumbaan meraih anugerah atau kenaikan gaji. Hati ayah narator terlalu jernih untuk hidup di dunia yang dipenuhi manusia-manusia tamak dan bertalam dua muka. Dia umpama berada di tengah lautan bertoksik. Ketulusan ayah narator terlalu langka pada masa kini.

            Mengapa narator terlalu istimewa di mata ayahnya? Tidak kepada ahli keluarga yang lain? Sudah tentu ada sebab khusus. Ayahnya yang lebih mengerti betapa rumit dan mencabar gejala skizofrenia yang dialami narator. Ia suatu gejala yang mungkin tidak difahami oleh orang-orang biasa yang tidak terdedah dengan maklumat. Hampir-hampir membuatkan narator depresi, pasif dan patah semangat. Mujurlah ayahnya sentiasa memupuk kata-kata semangat kepada narator. Ia gejala universal. Stigma gejala itu bukan lagi menjadi kejanggalan. Emosi dan mentaliti narator tidak boleh dibiarkan terus hanyut dan lemas dalam kemurungan. Masa depan menunggu buat mereka yang cekal. Hal itulah yang dikenang oleh narator. Ayahnya tidak pernah jemu-jemu untuk memastikan agar dirinya terus berdiri kukuh meneruskan kehidupan.

            Demikian kisah ini diakhiri dengan sanjungan daripada anaknya. Sebuah kisah biasa di mata pembaca, namun tidak dari perspektif narator. Narator yang juga merupakan anak perempuan kepada ayah dalam naskhah, “Kepulangan Bapak dan Persoalan yang Belum Terjawab”, mengungkapkan penghargaan buat seorang insan yang dianggap luar biasa. Inilah tujuan naratif ini dihasilkan. Bukan lelaki biasa. Bukan ayah sembarangan. Tetapi seorang ayah berhati emas. Ayahnya merupakan mantan guru, gigih berkhidmat dan tidak suka mengadu-domba biarpun pernah ditikam dari belakang. Seorang ayah yang ideal, berprinsip, ikhlas dan tegas tetapi lembut (pengasih). Pengemudi bahtera yang terpuji.

            Saya tiada kecenderungan untuk menyoroti aspek-aspek lain dalam naskhah itu. Memang, sejujurnya, tiada konflik yang ketara dan mengesankan antara hubungan kedua-dua watak itu ditampilkan. Dan ia menjadikan naskhah itu agak mendatar. Apa yang digambarkan ialah impak peribadi yang disuarakan secara jelas oleh narator. Hubungan antara kedua-duanya menjadi teras naskhah. Emosional. Tiang utama sudah pun patah. Rumah bagaikan kosong. Ketiadaan ayah bagi narator umpama noktah besar dalam babak kehidupan. Berat dan kaku jiwanya. Namun, apa yang terpendam dalam sanubari harus dilepaskan, sekurang-kurangnya meringankan belitan emosi dalam diri. Ia sebuah naskhah khas, terkhusus untuk ayahnya.

            Lima hari yang berlalu sungguh menyeksakan, lima hari sesudahnya nanti, begitulah takdir, dunia tidak lagi serupa selepas ketiadaan seorang ayah. Segala yang membebankan jiwa dan rasa terkilan, diluahkan sehabis-habisnya melalui naskhah itu. Dari segi nilai kesusasteraannya, naskhah tulisan Sheril Aida ini masih tetap menarik dan berjaya meninggalkan suntikan amanat kepada pembaca betapa besarnya pengorbanan seorang ayah. Betapa misterinya hati seseorang manusia. Sastera yang baik ialah sastera tentang manusia itu sendiri. Turun naik perasaan dan kacau-bilau fikiran manusia. AI tidak mampu menyelinap kompleksiti kemanusiaan. Penulisan yang cemerlang ialah usaha daripada pengarang/seniman mengeksplorasi secara mendalam situasi manusia, mencabar sudut perspektif dengan penggunaan bahasa yang istimewa dan asli. Tahniah buat pengarang.

Oleh: Roslan Jomel

Tags: wbs

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.