
ROBAN: Penubuhan persatuan berorientasikan wanita di kawasan luar bandar mampu menjadi platform terbaik dalam memperkasakan golongan tersebut, sekali gus menyumbang kepada pembangunan komuniti rumah panjang secara keseluruhan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, penglibatan aktif golongan wanita menerusi persatuan berdaftar bukan sahaja mampu mendedahkan mereka kepada pelbagai kemahiran, malah membuka peluang ekonomi yang lebih luas.
”Syabas dan tahniah di atas penubuhan Persatuan Wanita Sungai Engkabang Tengah Roban. Saya yakin dengan penubuhan persatuan ini yang akan bergerak aktif, pastinya ia memberikan banyak manfaat kepada penduduk di rumah panjang ini,” katanya.
Beliau menyatakan keyakinan tersebut semasa menyempurnakan perasmian Persatuan Wanita Sungai Engkabang Tengah Roban, di sini kelmarin.
Majlis perasmian tersebut diadakan serentak dengan Program Rumah Terbuka Gawai Dayak di Rumah Cessus Clay Sungai Engkabang Tengah.
Menurut Mohamad Duri, fungsi persatuan wanita di peringkat akar umbi amat penting dalam membantu menterjemahkan dasar-dasar kerajaan, khususnya yang berkaitan dengan kebajikan keluarga dan pembangunan modal insan.
Justeru, beliau berharap agar jawatankuasa yang telah dilantik dapat merangka pelbagai aktiviti berfaedah bagi memastikan persatuan berkenaan terus relevan dan dinamik dalam mendepani cabaran semasa.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan yang tinggi kepada Tuai Rumah Cessus Clay serta seluruh jawatankuasa pengelola di atas jemputan ke majlis sambutan tersebut yang disifatkannya sebagai sangat berjaya.
Mohamad Duri turut memuji komitmen dan semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh penduduk rumah panjang berkenaan dalam mengekalkan tradisi sambutan Hari Gawai Dayak yang penuh dengan kebudayaan dan nilai estetika.
”Terima kasih kepada Tuai Rumah Cessus Clay di atas jemputan dan tahniah di atas sambutan Hari Gawai Dayak yang sangat meriah daripada penduduk di rumah panjang yang sudah tentu menjadi satu kenangan indah buat kita semua,” jelasnya lagi.
Oleh Adi Safarman