
KABONG: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar mencari daun palas di sebuah kebun kelapa di Empayung, semalam, akhirnya ditemui dalam keadaan selamat, pagi ini.
Mangsa yang dikenali sebagai Majidi Jali, berjaya ditemui oleh penduduk kampung sekitar 9.00 pagi tadi di sekitar kawasan hutan Empayung selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan.
Terdahulu, mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar sejak sebelah pagi semalam, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarganya yang kemudiannya bertindak menghubungi pihak berkuasa.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.20 malam semalam.
”Susulan laporan tersebut, Operasi SAR segera diaktifkan bagi mengesan kedudukan mangsa yang dipercayai berada di sekitar kawasan kebun kelapa berkenaan,” katanya.
Ketika kali terakhir dilihat sebelum dilaporkan hilang, mangsa dikatakan memakai baju tidak berlengan berwarna kelabu serta seluar panjang berwarna biru.
Bagaimanapun, tindakan pantas penduduk kampung yang turut serta dalam pencarian akhirnya membuahkan hasil dengan penemuan mangsa pada pagi ini.
Oleh Adi Safarman