
PARIS, Perancis: Airbus pada Selasa memaklumkan bahawa pesawat badan lebar A350-1000ULR mampu terbang sehingga 22 jam tanpa henti berjaya melaksanakan penerbangan ujian pertamanya.
“Pesawat yang dilengkapi dengan instrumen khas bagi tujuan ujian penerbangan itu terbang selama tiga jam 43 minit dan mencapai altitud sedikit melebihi 41,000 kaki (12,500 meter),” kata pengeluar pesawat Eropah itu dalam satu kenyataan.
Pesawat yang dipasarkan dengan penetapan ULR, singkatan kepada ultra long-range (jarak ultra jauh), merupakan antara 12 unit yang ditempah oleh syarikat penerbangan Australia, Qantas, bagi membolehkannya mengendalikan penerbangan tanpa henti antara Sydney dan London.
Airbus berkata pihaknya merancang untuk menyerahkan A350-1000ULR pertama kepada Qantas pada April 2027. Syarikat penerbangan itu sebelum ini menyasarkan untuk memulakan perkhidmatan penerbangan tanpa henti Sydney–London pada tahun 2025.
Penerbangan ujian yang berlangsung pada Selasa dari kemudahan Airbus di bandar Toulouse, selatan Perancis, menandakan permulaan tempoh ujian selama dua bulan bagi mendapatkan pensijilan terhadap pengubahsuaian yang dilakukan pada tiga versi sedia ada A350, termasuk pemasangan tangki bahan api tambahan yang membolehkannya terbang sejauh kira-kira 18,500 kilometer.
Ketika ini, penerbangan komersial paling jauh di dunia yang masih beroperasi ialah penerbangan Singapore Airlines dari Singapura ke New York, yang meliputi jarak 15,350 kilometer dalam tempoh melebihi 18 jam. – AFP