Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Liverpool mahu memuktamadkan pelantikan Iraola sebelum Piala Dunia bermula – laporan
  • SUKAN

Liverpool mahu memuktamadkan pelantikan Iraola sebelum Piala Dunia bermula – laporan

Utusan Sarawak 5 hours ago
LIVERPOOL dilaporkan telah memulakan rundingan dengan Andoni Iraola bagi mengisi kekosongan jawatan pengurus kelab. Foto AFP

LONDON: Liverpool hampir mencapai persetujuan untuk melantik Andoni Iraola sebagai pengurus baharu mereka bagi menggantikan Arne Slot, menurut laporan pada Selasa.

Iraola muncul sebagai calon utama Liverpool selepas Slot dipecat pada Sabtu lalu susulan musim kedua yang penuh bergelora di Anfield.

Menurut laporan, Liverpool telah mencapai persetujuan secara prinsip untuk membawa jurulatih dari Sepanyol itu ke Anfield selepas beliau meninggalkan Bournemouth pada penghujung musim ini.

Pengarah sukan Liverpool, Richard Hughes, yang memainkan peranan penting dalam membawa Iraola ke Bournemouth sebelum ini, sekali lagi mengetuai usaha mendapatkan khidmat jurulatih yang mendapat penilaian tinggi itu.

The Reds dilaporkan mahu memuktamadkan pelantikan Iraola sebelum bermulanya Piala Dunia minggu depan, sekali gus memberi masa yang lebih panjang kepada jurulatih berusia 43 tahun itu untuk menyesuaikan diri sebelum latihan pramusim bermula.

Slot dipecat selepas Liverpool menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tempat kelima, ketinggalan 25 mata di belakang juara, Arsenal.

Jurulatih dari Belanda itu sebelum ini membawa Liverpool menjulang kejuaraan liga pada musim pertamanya, namun kempen berikutnya bertukar menjadi mimpi ngeri.

Kematian penyerang Liverpool, Diogo Jota, tahun lalu memberi kesan besar kepada pasukan, manakala perbelanjaan besar berjumlah £450 juta untuk mendapatkan pemain baharu gagal memberikan pulangan yang diharapkan.

Hubungan Slot dengan bintang utama pasukan, Mohamed Salah, turut dilaporkan merosot, selain prestasi hambar dan keputusan buruk yang menyebabkan sebahagian penyokong hilang kepercayaan terhadap bekas pengendali Feyenoord itu.

Usaha mendapatkan Iraola sejajar dengan hasrat Liverpool untuk kembali mengamalkan corak permainan agresif dan menyerang yang sinonim dengan era bekas pengurus, Jurgen Klopp.

Iraola mendapat pujian selepas membimbing Bournemouth menamatkan musim di tangga keenam, sekali gus melayakkan kelab itu ke pentas Eropah buat kali pertama menerusi saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Beliau menyertai Bournemouth dari Rayo Vallecano pada 2023 selepas pernah mengendalikan CD Mirandés dan AEK Larnaca.

Di bawah kendaliannya, Bournemouth menunjukkan peningkatan konsisten dengan menamatkan musim di tangga ke-12, kesembilan dan keenam.

Iraola turut dipuji kerana kebijaksanaan taktikalnya serta kejayaan membangunkan pemain muda seperti Eli Junior Kroupi dan Alex Scott.

Beliau juga difahamkan berminat membawa pembantu jurulatihnya di Bournemouth, Tommy Elphick, ke Anfield.

Elphick, yang merupakan penyokong Liverpool sejak kecil, dilaporkan telah menolak tawaran untuk menjadi pengurus kelab divisyen kedua England, Bristol City. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: David Beckham bakal terima bintang di Hollywood Walk of Fame
Next: Pang Ron-Pei Jing akhiri badi pusingan pertama di Terbuka Indonesia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.