
LIMBANG: Empat individu cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas dalam kemalangan kendiri di Jalan Pegong, di sini, petang ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.52 petang.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang tiba di lokasi dua minit kemudian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Bagaimanapun, kesemua mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Anggota bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum mereka dihantar ke Hospital Limbang menggunakan kenderaan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu laporan hari ini.
Operasi diketuai oleh PBK I Dzuriman Suhaini dengan kekuatan lima anggota.
Turut digerakkan ke lokasi ialah sebuah jentera Bomba dan Penyelamat (FRT) serta kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Punca kejadian masih dalam siasatan.