
GENEVA: Keadaan El Nino dijangka berkembang dalam beberapa bulan akan datang, sekali gus meningkatkan kemungkinan berlakunya kejadian cuaca melampau di seluruh dunia serta menambah kesan pemanasan global, kata Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) pada Selasa, menurut laporan Anadolu Ajansi (AA).
Agensi cuaca Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata terdapat 80 peratus kebarangkalian bahawa El Nino akan muncul dalam tempoh Jun hingga Ogos, dengan kemungkinan fenomena itu berterusan sekurang-kurangnya hingga November mencecah hampir atau melebihi 90 peratus.
Menurut WMO, air laut yang luar biasa panas di Lautan Pasifik tropika sedang menyemarakkan perkembangan corak iklim tersebut, yang diketahui mempengaruhi suhu global dan corak hujan serta meningkatkan risiko cuaca ekstrem.
“Ilmu sains jelas: El Nino akan tiba dalam beberapa bulan akan datang dengan kepastian 90 peratus. Dunia mesti menganggapnya sebagai amaran iklim yang mendesak,” kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres, dalam kenyataan video pada Selasa.
“Keadaan El Nino akan menyiram minyak ke atas kebakaran dunia yang semakin panas. Kesannya akan menjadi lebih teruk, meluas lebih jauh dan merentas sempadan dengan kelajuan yang memusnahkan,” tambahnya.
Setiausaha Agung WMO, Celeste Saulo, memberi amaran bahawa fenomena itu boleh memburukkan kemarau, hujan lebat dan gelombang haba di daratan serta di lautan.
“Kita perlu bersedia menghadapi kemungkinan El Nino yang kuat, yang akan memburukkan kemarau dan hujan lebat serta meningkatkan risiko gelombang haba di daratan dan di lautan. El Nino yang terakhir pada 2023-24 merupakan antara lima yang terkuat pernah direkodkan dan menyumbang kepada suhu global rekod yang kita saksikan pada 2024,” kata Saulo.
Ramalan bermusim awal dan amaran awal amat penting bagi menyelamatkan nyawa serta mengurangkan kesan terhadap ekonomi dan komuniti, tambahnya.
El Nino ialah fasa panas dalam El Nino-Southern Oscillation, iaitu corak iklim semula jadi yang dicirikan oleh suhu permukaan laut yang lebih tinggi daripada purata di tengah dan timur Lautan Pasifik khatulistiwa. Fenomena ini biasanya berlaku setiap dua hingga tujuh tahun dan boleh berlanjutan sekitar sembilan hingga 12 bulan.
WMO berkata ramalan bagi Jun hingga Ogos menunjukkan suhu melebihi normal di hampir semua rantau dunia, sekali gus meningkatkan risiko tekanan haba serta mempercepat keadaan kemarau di kawasan yang menerima hujan berkurangan.
Agensi itu turut menyatakan bahawa El Nino biasanya dikaitkan dengan keadaan lebih basah di sebahagian selatan Amerika Selatan, selatan Amerika Syarikat, Tanduk Afrika dan Asia Tengah, manakala membawa cuaca lebih kering ke Amerika Tengah, utara Amerika Selatan, Caribbean, Australia, Indonesia dan sebahagian Asia Selatan. – Bernama